Berita Utama

‘Bukan UMNO saja, semua parti dalam kerajaan perlu menang besar PRN’

Tok Mat tegaskan tanggungjawab ini tak boleh dipikul satu parti

SEREMBAN, 21 Syawal 1444H, Jumaat – Semua parti dalam Kerajaan Madani harus melakukan yang terbaik untuk menang besar dalam enam pilihan raya negeri (PRN) akan datang, kata Datuk Seri Mohamad Hasan.

Pengarah Pilihan Raya Barisan Nasional itu berkata, tanggungjawab ini tidak boleh dipikul oleh satu parti sahaja.

“Bukan UMNO sahaja yang perlu menang besar. Setiap parti dalam kerajaan perlu menang besar dan barulah kita dapat membentuk kerajaan di negeri-negeri ini,” katanya.

Mohamad diminta mengulas kenyataan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke ketika sesi meja bulat di Parlimen anjuran Bersih pada Rabu lalu.

Loke berkata, jika UMNO memenangi lebih banyak kerusi, ia juga akan mengukuhkan kerajaan di peringkat persekutuan.

“Saya harap UMNO akan dapat kemenangan lebih besar, kerana dengan menjadi lebih kuat, ia akan menjadikan kerajaan lebih kuat. Jika mereka (UMNO) jadi lebih kuat, ia tidak baik untuk pembangkang.

“Kami juga telah memutuskan untuk tidak bertanding sesama sendiri kerana jika kami berbuat demikian dan masih bekerjasama dalam Kerajaan Persekutuan, ia adalah resipi untuk bencana,” kata Loke.

Untuk menyokong pendapatnya, Loke memberi contoh kerjasama sebelum ini antara BN dan Perikatan Nasional – walaupun kedua-duanya berada dalam Kerajaan Persekutuan yang sama, mereka bertanding sesama sendiri dalam pilihan raya negeri Melaka dan Johor.

Pilihan raya dijadualkan di Negeri Sembilan, Selangor, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu pada suku ketiga tahun ini.

Pakatan Harapan menguasai Negeri Sembilan, Selangor dan Pulau Pinang manakala tiga lagi negeri di bawah PN.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button