Tersasar arah kiblat: Tak perlu qada solat
Wajib palingkan semula jenazah ke arah kiblat dibetulkan

BANGI, 21 Syawal 1444H, Jumaat – Khutbah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) hari ini memaklumkan solat yang dilakukan sebelum pembetulan arah kiblat di masjid, surau atau rumah, tidak perlu diqada’.
Bagaimanapun, bagi kawasan tanah perkuburan yang telah dibetulkan arah kiblatnya, jenazah yang telah dikebumikan sebelum pembetulan dibuat, wajib dipalingkan semula ke arah kiblat betul, kecuali jika jenazah sudah rosak dan berubah.
Perkara itu dijelaskan Jais menerusi khutbah Jumaat berhubung beberapa perkara yang perlu diketahui berkaitan penentuan arah kiblat di negeri Selangor.
“Bagi individu yang mendirikan solat, penentuan arah kiblat adalah diterima selagi mana arah kiblat tidak berada di kiri atau di kanannya.
“Bagi bangunan seperti masjid, surau dan tapak perkuburan, kadar selisih daripada arah kiblat sebenar hanya dibenarkan tidak melebihi tiga darjah berdasarkan kemampuan peralatan falak,” katanya.
Khutbah menjelaskan, di negeri Selangor, Jabatan Mufti Negeri Selangor melalui Bahagian Falak bertanggungjawab membuat penentuan arah kiblat di seluruh masjid, surau kebenaran solat Jumaat, musolla, tanah perkuburan Islam, ruang solat awam, hentian rehat RnR, stesen minyak, pejabat dan sebagainya.
“Jabatan Mufti Negeri Selangor juga telah melantik Persatuan Ahli Falak Negeri Selangor (PIBK) untuk membantu masyarakat mendapatkan khidmat penentuan arah kiblat di rumah persendirian.
“Penentuan arah kiblat adalah perkara ijtihad dan zanni (iaitu hasil penelitian),” kata khutbah.
Sehubungan itu, khutbah menyarankan semua pihak untuk merujuk pihak yang berautoriti untuk mendapatkan pandangan bagi memastikan arah kiblat betul sekiranya terdapat sebarang keraguan dalam penentuannya.