Berita UtamaIstimewa

BERJASA sedia bincang dengan parti lain hala tuju GTA

Keputusan Tun M tinggalkan GTA dibuat sendirian, tak babitkan pimpinan lain

BANGI, 22 Syawal 1444H, Sabtu – Parti BERJASA bersedia untuk berbincang bersama komponen parti-parti Gerakan Tanah Air (GTA) yang lain termasuk Jawatankuasa Gagasan Bangsa bagi menentukan kepimpinan baharu dan hala tuju perjuangan selepas ini.

Keputusan itu dibuat susulan tindakan Tun Dr Mahathir Mohamad yang mengumumkan tidak lagi bersama GTA kerana ingin memfokuskan kepada Proklamasi Orang Melayu.

Bekas Pengerusi Penaja GTA itu memaklumkan, sekiranya beliau bergerak atas landasan parti politik, ada orang Melayu yang lain tidak begitu selesa untuk menyokong proklamasi tersebut.

Menerima keputusan itu, Ketua Penerangan BERJASA, Mohd Hamdan Mohd Sharif berkata, pihaknya mengambil maklum kenyataan Tun Mahathir untuk tidak lagi bersama GTA selepas dilaporkan media arus perdana.

BERJASA menganggap tindakan Tun Dr Mahathir sebagai keputusan peribadi beliau kerana perkara ini tidak dibincangkan di dalam mana-mana mesyuarat dan dibuat secara bersendirian tanpa melibatkan pimpinan GTA yang lain.

Atas dasar itu, katanya, perjuangan GTA tetap akan diteruskan walau apa sahaja keputusan bekas Perdana Menteri itu.

“Perjuangan GTA demi Tanah Air yang tercinta yang telah dipersetujui dan diangkat bersama sejak penubuhannya.

“Ia tetap akan diteruskan BERJASA dan pihak-pihak di dalam GTA, walau apa pun keputusan Tun Mahathir,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

GTA ditubuhkan sebelum PRU15 membabitkan kerjasama empat parti komponen utama iaitur Pejuang, BERJASA, Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) dan Parti Ikatan India Muslim Nasional (IMAN).

Bagaimanapun, pada Januari lalu, Pejuang mengumumkan menarik diri daripada GTA, bagi memberikan tumpuan kepada usaha pengkuhan parti sebelum memberi nilai tambah kepada mana-mana gabungan.

Pada Februari, Dr Mahathir pula mengumumkan untuk keluar dari Pejuang bersama 12 lagi ahli lain dan menyertai Putra, susulan kecewa dengan tindakan partinya itu memutuskan hubungan dengan GTA.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button