Pulau Pinang alami gangguan bekalan air
Paras Sungai Muda turun mendadak, pengguna dinasihat simpan air

BANGI, 23 Syawal 1444H, Ahad – Penduduk sesetengah kawasan di Pulau Pinang akan mengalami tekanan air rendah atau tiada bekalan air bermula hari ini sehingga Rabu.
Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) dalam kenyataan berkata, ini berikutan paras Sungai Muda yang direkodkan di muka sauk di Lahar Tiang Seberang Perai pada jam 5 pagi tadi, didapati menurun mendadak di bawah satu meter.
PBAPP berkata, situasi itu menyebabkan pengeluaran loji Rawatan Air Sungai Dua terjejas, sekali gus mengakibatkan gangguan bekalan air di negeri berkenaan.
“Buat masa kini, loji Rawatan Air Sungai Dua tidak dapat beroperasi secara normal untuk merawat air 1000 juta liter sehari (JLH) untuk dibekalkan ke kawasan Seberang Perai dan juga kawasan sekitar Pulau Pinang.
“Buat masa kini, tahap pengeluaran Loji Rawatan Air Sungai Dua terhad kepada 600-650 juta liter sehari sehingga keadaan air mentah di muka sauk Lahar Tiang mencapai simpanan 100 peratus (berdasarkan pemulihan paras air di Sungai Muda),” katanya.
PBAPP berkata, pihaknya telah menyalurkan air dari Empangan Mengkuang sebagai tindakan kecemasan buat masa ini.
Bagaimanapun, katanya, jumlah air yang disalurkan dari Empangan Mengkuang masih tidak mencukupi untuk menampung penurunan mendadak paras air Sungai Muda.
“Para pengguna dinasihati untuk menyimpan air dengan secukupnya.
“Jurutera-jurutera PBAPP bekerja keras untuk memulihkan bekalan air mentah di muka sauk Lahar Tiang dan pengeluaran air terawat di Loji Rawatan Air Sungai Dua boleh pulih sepenuhnya.
“PBAPP akan sentiasa kemaskini maklumat kepada pengguna-pengguna air Pulau Pinang,” katanya.