Berita Utama

Anwar kata tatakeloka baik Kerajaan Madani berjaya tingkat hasil negara

GDP meningkat 5.6 peratus, lagi tinggi daripada China, Vietnam

KUALA LUMPUR, 24 Syawal 1444H, Isnin – Pentadbiran Kerajaan Madani yang menekankan aspek tatakelola yang baik telah memberi impak positif kepada negara dengan terbukti berjaya menarik kemasukan pelabur asing dan meningkatkan kutipan hasil negara, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Kerana apa kita (berjaya) lakukan? Kerana apabila diberikan kuasa (menjadi kerajaan), kita hentikan sama sekali kerja-kerja sakau, ambil duit rakyat, kita tidak langgar peraturan, kita tidak izin ambil kontrak tanpa tender, ambil kontrak dengan komisen, kita tidak izin pemimpin ambil duit rakyat.

“Ini maknanya tatakelola, guna kuasa bantu rakyat.. hasilnya Januari hingga April, Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) meningkat 5.6 peratus, lagi tinggi daripada China, Vietnam dan Indonesia… LHDN (Lembaga Hasil Dalam Negeri) pula lapor kutipan cukai juga bertambah, dari mana bertambah? Orang yang dulu dok curi tak bayar cukai, sekarang semua bayar, sebab tahu tak boleh sogok.. LHDN harus bersih betul maka hasil kita meningkat.

“Ini kerja pasukan kita, kita mencatat pelaburan Amazon berpuluh bilion, Geely (melabur) berbilion di Tanjung Malim, China (melabur) RM170 bilion, datang memberi pelaburan dan pekerjaan di negara kita, kerana mereka percaya kita tidak sakau, tidak curi duit, tidak ambil komisen dan kita tahu kerja menjaga kepentingan rakyat (jadi) inflasi turun, defisit turun, hasil naik,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya ketika menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Malaysia MADANI di Gombak hari ini yang turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari.  – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button