Buang sifat munafik jika mahu bersatu, bersaudara
Perpaduan mesti diasaskan akidah yang benar, amar makruf nahi mungkar

JIKA pemimpin negara kita mahu menyatukan umat Islam dan menjalin hubungan persaudaraan, jangan hidup dalam kemunafikan. Ikhlaslah dalam perjuangan.
Saya lihat ciri-ciri munafik banyak terdapat pada pemimpin politik hari ini, sukar dipercayai.
Tidak mustahillah dalam kajian yang dibuat oleh Business Ethics Institute of Malaysia (BEIM), menempatkan ahli politik sebagai orang yang paling tidak boleh dipercayai. Keputusan kajian ini, sama juga dengan negara maju seperti United Kingdom (UK).
Jika kita tinjau kepada tingkah laku pemimpin politik negara kita, daripada yang tinggi sampaikan ke bawah, hakikatnya ini memang tidak dapat dinafikan.
Beberapa sifat ahli politik yang tidak boleh dipercayai menyerupai sifat munafik yang jelas disebut dalam Islam. Pemimpin sebegini bila bercakap, dia berbohong, dan menipu. Bagaimana perpaduan dan persaudaraan dapat diasaskan. Kalau sekadar menipu satu dua orang, boleh tahan lagi, tapi menipu jutaan rakyat.
Apakah cara permohonan maaf yang perlu dilakukan? Apakah rakyat rela untuk memaafkannya?
Kalau kita sudah lupa ciri-ciri munafik, saya peringatkan sekali lagi dengan memetik beberapa hadis Rasulullah s.a.w.
Daripada Abu Hurairah RA bahawasanya Rasulullah SAW bersabda,
Tanda-tanda orang munafik ada tiga, iaitu apabila dia berbicara dia dusta, apabila dia berjanji tidak ditepati dan apabila diberi amanah dia khianati.”
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Tiga ciri ini sangat ketara dapat kita lihat. Kenapa boleh terjadi perkara seserius ini boleh terjadi dalam kalangan orang mengakui dirinya seorang pemimpin Islam?
Pertama, masalah iman. Orang yang tidak teguh imannya sentiasa berubah-ubah mengikut keadaan. Mereka sangat takut kehilangan kuasa. Segala macam perkara akan dilakukan termasuk, matlamat menghalalkan cara.
Kedua, tingkah laku yang tidak konsisten. Sekejap begini, sekejap begitu. Dalam kata lain, orang munafik ibaratkan sebagai pelakon yang hebat. Ketika dia bersama orang yang sedang alim atau ahli ibadah, dia akan turut sama melakukan ibadat tersebut walaupun hatinya terlalu susah untuk menerimanya.
Sebaliknya, apabila dia tidak dilihat oleh khalayak, dia akan mengikut kata hatinya dengan tidak melakukan amal ibadat.
Ketiga, tidak tetap pendirian. Orang ini sentiasa mengubah pendiriannya. Ketika bersama dengan orang Islam, dia akan memuji-muji Islam dan menyatakan ketaatannya terhadap ajaran tersebut. Namun, apabila berada dibelakang, bersama orang kafir, misalnya, secara senyap dia akan ‘menghina’ Islam melalui tindak tanduknya.
Daripada Abu Hurairah R.A., Rasulullah S.A.W bersabda
Kamu akan mendapati manusia yang paling jahat iaitu yang memiliki dua wajah (munafik), yang datang pada segolongan dengan satu wajah, dan datang pada golongan lain dengan satu wajah.” Hadis riwayat al-Bukhari, Muslim, Tirmizi, Ibnu Hibban dan Ahmad
Keempat, orang sebegini jiwanya tidak tenteram. Hidup dalam ketakutan. Hidupnya sentiasa berada dalam kegelisahan dan keresahan kerana terpaksa bersikap pura-pura di hadapan orang ramai dan tidak dapat melaksanakan kehendak hatinya.
Kelima, menjadikan dunia sebagai matlamat hidup, untuk kekal berkuasa, seolah-olah lupa akhirat.
Firman Allah SWT
Dan apabila dikatakan kepada mereka: “Marilah berhakim kepada hukum Al-Quran yang telah diturunkan oleh Allah dan kepada hukum Rasulullah,” nescaya engkau melihat orang-orang munafik itu berpaling serta menghalang (manusia) dengan bersungguh-sungguh daripada menghampirimu.” – Surah An-Nisa’: 61
Bayangkanlah betapa hinanya jika kita tergolong dalam golongan munafik kerana hidup kita penuh dengan kepura-puraan.
Ambil contoh mudah. Sebelum berkuasa, berjanji dan berkempen macam-macam hingga sanggup bersumpah atas nama Allah. Bila berkuasa, mungkir janji. Terlalu banyak isu untuk diperkatakan. Berjanji dan mungkir.
Dulu kata, tidak ada lantikan politik dalam agensi berkaitan kerajaan (GLC). Bila dapat kuasa, boleh pula. Maka pelbagai helah dicari untuk menjustitfikasikan tindakannya.
Maka keluarlah kenyataan, golongan elit tak tahu pasal bendang. Orang politik pandai sangatkah berbendang?
Bukankah lebih selamat dia tidak berjanji sedemikian rupa? Ini tidak, berjanji tetapi tidak ditepati? Ini bukan sifat munafikkah?
Sebagai rakyat marhaen, saya tertanya-tanya, adakah ahli politik yang dilantik itu tahu sangat pasal bendang.
Bila kena depa, akan cari macam-macam alasan yang katakan dia betul, bagi memastikan orang lain salah.
Sejak bila ahli politik hebat berbendang atau ilmu nelayan? Setahu saya ahli politik mengamalkan politik tough n go, datang tunjuk muka sekejap, selepas itu pergi. Sejak bila mereka jadi pakar dalam bidang berbendang dan bersawah?
Setahu saya elit politik inilah yang datang seminar, dia rasmi, lepas tu dia balik.
Dia tidak ikuti pun seminar pasal bidang yang berkaitan dengannya.
Ingatan saya kepada pemimpin politik sebegini, pastikan tidak ada ciri-ciri munafik seperti yang dibincangkan ada pada diri kita, kerana ditakuti, apabila sifat itu semakin banyak, menyukarkan kita untuk membezakan antara hak dan batil. Hati menjadi semakin hitam sehingga sukar untuk diputihkan.
Sebab itulah saya fikir, serulah macam mana pun perpaduan dan persaudaraan yang ingin dijalinkan, selagi kita tidak buang jauh-jauh sifat munafik itu, selagi itu sukar untuk kita mencapai matlamat tersebut. Ia sekadar cakap-cakap politik untuk menyedapkan hati untuk kekal berkuasa.
Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah