Jannah Theme License is not validated, Go to the theme options page to validate the license, You need a single license for each domain name.
Berita UtamaIstimewa

Ibu bapa tak perlu risau kualiti pendidikan sekolah kebangsaan

Silibus sekolah kebangsaan dapat pengiktirafan negara luar

Oleh Muhammad Danial Haziq

BANGI, 24 Syawal 1444H, Isnin – Kualiti silibus pendidikan sekolah kebangsaan sering kali dibahaskan dan menjadi pertikaian orang ramai terutamanya dalam kalangan ibu bapa.

Mengambil maklum perkara itu, Setiausaha Agung BERJASA, Zulkifli Yahya berkata, ibu bapa tidak perlu risau mengenai standard atau kualiti pendidikan di sekolah-sekolah kebangsaan kerana ia sudah mencapai tahap yang tinggi.

Beliau berkata, silibus pendidikan Malaysia mendapat pengiktirafan daripada negara-negara luar yang datang untuk melihat pelaksanaan pendidikan di sekolah-sekolah kebangsaan.

Katanya, mutu pendidikan sekolah kebangsaan jauh mengatasi kualiti sekolah swasta atas beberapa faktor.

“Infrastruktur untuk sekolah kebangsaan, tidak kira sekolah rendah atau menengah, adalah sangat lengkap daripada segi bilik darjah, pusat sumber, makmal sains, bilik kemahiran hidup dan sebagainya.

“Jadi dari segi infrastruktur, maka sekolah kebangsaan jauh lebih baik berbanding sekolah swasta,” katanya kepada Ismaweb.net.

Dalam pada itu, Zulkifli berkata, kurikulum yang diterapkan di dalam silibus sekolah kebangsaan bertujuan melahirkan insan holistik dan tidak tertumpu kepada pencapaian akademik semata-mata.

“Kurikulum yang dibina oleh sekolah kebangsaan ini adalah kurikulum yang mantap dan holistik, ke arah melahirkan murid yang bukan hanya dari segi aspek kognitif dan ilmu sahaja, tetapi untuk melahirkan pelajar yang seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani.

“Kurikulum sekolah kebangsaan juga menyatukan pelbagai disiplin ilmu bagi menjadikan sesi pengajaran guru dan murid itu lebih menarik, lebih menyeronokkan, serta lebih bermakna kepada murid,” katanya.

Beliau juga menekankan bahawa guru di sekolah kebangsaan adalah lebih terlatih dan bertauliah berbanding tenaga pengajar di sekolah swasta.

“Guru-guru atau pelajar-pelajar lepasan SPM ini mesti mendapat sekurang-kurangnya 6A dalam subjek teras itu sendiri.

“6A itu minimum, tetapi yang masuk ke dalam bidang pendidikan adalah pelajar-pelajar yang mendapat 8A, 9A dan sebagainya.

“Mereka dilatih selama empat tahun di IPG, diberi pendedahan tentang psikologi, pedagogi, Rancangan Orientasi Sekolah (ROS), serta latihan-latihan mengajar dan sebagainya sehingga mereka ditauliahkan sebagai guru,” katanya.

Pada masa sama, Zulkifli turut menekankan kepentingan Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang sering diabaikan di sekolah-sekolah swasta dengan menggunakan silibus mereka sendiri.

“Perkembangan pendidikan di sekolah-sekolah kebangsaan mempunyai fokus dan matlamatnya menuju ke Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

“Ini adalah satu usaha ke arah mengembangkan potensi individu itu secara menyeluruh dan bersepadu bagi melahirkan insan yang seimbang dan harmoni dari segi intelek, rohani, emosi, dan jasmani berdasarkan kepatuhan kepada Tuhan,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Zulkifli juga menjelaskan bahawa sistem pentaksiran sekolah kebangsaan mempunyai standard kualiti yang sangat tinggi.

“Aspek pengukuran di sekolah-sekolah kebangsaan baik rendah atau menengah ialah, dari segi akademik, sahsiah, dan pencapaian kokurikulum, bagi menilai seorang individu itu secara holistik.

“Ia bukan hanya melihat kepada aspek akademik semata-mata tetapi merangkumi semua aspek iaitu akhlak, pencapaian kokurikulum, sukan, dan persatuan ke arah melahirkan kepimpinan pelajar.

“Semuanya diajar dalam kurikulum sekolah kebangsaan, bermakna bahawa sistem pentaksiran di sekolah kebangsaan ini jauh lebih baik berbanding sistem pentaksiran di sekolah-sekolah swasta,” katanya lagi.

Beliau turut berpesan kepada golongan ibu bapa agar tidak hanya melihat prestasi pelajar berdasarkan keputusan peperiksaan, tetapi penilaian yang menyeluruh termasuk sahsiah, kepimpinan, dan penglibatan sukan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button