Berita Utama

Kerajaan dituntut perjelas tindakan tarik rayuan kes kalimah Allah

Badan Peguam Syarie WP terkilan tindakan tak selari hasrat penghakiman kes

BANGI, 24 Syawal 1444H, Isnin – Badan Peguam Syarie Wilayah-Wilayah Persekutuan menuntut kerajaan memberikan penjelasan penuh berhubung tindakan dan arahan menarik balik rayuan terhadap keputusan mahkamah yang membenarkan seorang wanita Melanau beragama Kristian dari Sarawak, Jill Ireland Lawrence Bill menggunakan kalimah Allah.

Presidennya, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, kerajaan perlu menjelaskan sebab perbezaan tindakan itu yang tidak dimaklumkan kepada masyarakat Islam.

Malah, beliau turut mohon kerajaan menjelaskan sama ada Majlis-Majlis Agana Islam Negeri-Negeri Selangor, Wilayah Persekutuan dan Kedan yang diberikan hak oleh mahkamah menjadi amicus curae (sahabat mahkamah) dalam kes ini, dirujuk sebelum tindakan notis pemberhentian rayuan diambil.

“Di Negeri Selangor umpamanya terdapat Undang-Undang Negeri yang menghalang penggunaan kalimah-kalimah tertentu termasuk kalimah Allah yang telah diluluskan oleh Dewan Negeri Selangor dan diperkenan oleh Sultan Selangor sebagai Ketua Agama Negeri yang termaktub di dalam Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan.

“… dan kuasa budi bicara sebagai Ketua Agama Negeri di dalam Jadual Kelapan Perlembagaan Persekutuan penarikan balik secara unilateral ini telah menjejas kuasa Sultan Selangor khususnya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Kerajaan Perpaduan bertindak menarik balik rayuan terhadap keputusan mahkamah yang membenarkan seorang wanita Ireland menggunakan kalimah Allah.

Notis pemberhentian rayuan semakan kehakiman itu difailkan Pejabat Peguam Negara di Pejabat Pendaftar Mahkamah Rayuan di Putrajaya, pada 18 April lalu.

Notis berkenaan, menyatakan bahawa KDN dan kerajaan Malaysia tidak berniat untuk meneruskan rayuan yang difailkan pada 12 Mac 2021 dan memberhentikan keseluruhan rayuan tanpa sebarang perintah terhadap kos.

Susulan perkembangan itu, Zainul Rijal berkata, pihaknya kesal dan terkilan dengan tindakan yang telah dilakukan itu kerana tidak selari dengan hasrat penghakiman kes kalimah Allah terdahulu iaitu dalam kes Titutar Roman Catholic Archibishop of Kuala Lumpur.

“Peguam Kanan Persekutuan dengan tegas setelah Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengeluarkan keputusan pada 10 Mac 2021 menyatakan mahkamah telah terkhilaf di dalam membuat keputusan tersebut dan pihak kerajaan merayu terhadap keputusan itu.

“Terdapat juga laporan yang menyatakan beberapa pihak telah mendesak pihak kerajaan menarik balik rayuan tersebut,” katanya.

Pada 10 Mac 2021, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan penganut Kristian seluruh negara menggunakan kalimah Allah dalam penerbitan pendidikan agama itu.

Selain perkataan Allah, tiga lagi perkataan lain yang dibenarkan ialah Baitullah, Kaabah dan solat.

Bagaimanapun, ia perlu disertakan dengan penafian, ‘hanya untuk orang Kristian’ dan lambang salib di hadapan kulit buku.

Mahkamah membuat keputusan itu selepas membenarkan perisytiharan yang dibuat oleh Jill bahawa hak perlembagaannya untuk mengamalkan agamanya dihalang dengan sekatan atau larangan pengimportan bahan pendidikan.

Sementara itu, peguam, Annou Xavier yang mewakili Jill berkata, keputusan yang dibuat mahkamah tinggi dengan ini adalah kekal, selepas notis pemberhentian berkenaan dikeluarkan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button