Artikel KhasBerita Utama

Guru insani pemangkin generasi madani

Mampu jadi Qudwah Hasanah kepada murid, semaikan dengan adab dan nilai

1. TANGGAL 16 Mei setiap tahun, warga guru pasti merayakan hari istimewa untuk mereka iaitu Hari Guru. Hari Guru disambut bagi menghargai jasa dan perjuangan para guru dalam arena pendidikan. Sumbangan dan jerih payah mereka tidak dapat dinafikan. Ia adalah kesinambungan perjuangan yang panjang sejak sebelum merdeka, selepas merdeka hingga kini.

2. Tema tahun ini Guru Insani Pemangkin Generasi Madani mengingatkan kita betapa tugas dan peranan guru cukup besar untuk menjadi obor penggerak bagi melahirkan generasi madani yang memiliki ketinggian ilmu dan adab serta jati diri bangsa yang kuat untuk menjadi sebuah negara madani berasaskan acuan kita sendiri.

3. Guru insani bermakna guru berkeupayaan memahami emosi murid, empati dan menyuburkan nilai kasih sayang ke dalam jiwa mereka bagi memenuhi keperluan fisiologi dan psikologi murid. Pada masa yang sama kaya ilmu dan hikmah, mampu menjadi Qudwah Hasanah kepada murid- muridnya menyemai adab dan nilai berpaksikan pendidikan insani dengan jiwa sebagai murobbi dan muallim.

4. Dunia pendidikan sentiasa dinamik dan progresif dan berkembang seiring dengan perubahan zaman. Era Vuca, kepantasan teknologi serta berdepan generasi-Z menuntut warga guru mempersiapkan kualiti  diri dari sudut ilmu dan kemahiran pedagogi agar dapat menyampaikan ilmu dengan berkesan tanpa ada murid yang keciciran. 

5. Guru insani tidak wajar memisahkan diri dari tanggungjawab asasi menerapkan adab dan akhlak untuk membina kesempurnaan aspek karamah insaniah sekaligus merealisasikan usaha membentuk anak murid yang baik lagi cerdik ( murid ABC)

6. Sempena hadirnya Hari Guru, wajar pihak kerajaan mendengar keluhan dan rintihan suara akar umbi warga guru bagi menangani beberapa isu-isu yang terkait dengan kebajikan dan keinsanan guru.

7. Antara aspek penting yang perlu diberikan perhatian ialah soal kenaikan gred gaji dan tempoh kenaikan, penglibatan aktif di dalam kesatuan, kemudahan infra fizikal dan digital, insentif pembelajaran digital, literasi undang- undang kepada warga guru, meningkatkan kecekapan guru di dalam bidang Ai, kesejahteraan emosi dan minda serta meringankan beban kerja guru.

8. Guru yang berjiwa insani, luhur budi pekerti serta berdedikasi mampu menjadi pemacu penghasilan generasi madani sekaligus wadah membina peradaban bangsa yang hebat dan unggul.

Selamat Hari Guru

Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (i-Guru)

Ustaz Mohd Azizee Hasan

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button