ISMA gesa kerajaan tarik semula pembatalan rayuan kes kalimah Allah
Kerajaan Madani tidak beradab belakangkan semua pihak termasuk Majlis Raja-Raja

BANGI, 25 Syawal 1444H, Selasa – Presiden gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ustaz Shuhaib Ar-Rumy Selamat mempersoalkan tujuan sebenar di sebalik pembatalan rayuan kes kalimah Allah yang sedang berjalan di mahkamah.
Beliau menegaskan, kes kalimah Allah merupakan kes berkepentingan tinggi bagi umat Islam di negara ini, dan proses rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi sebelum ini telah pun dimulakan oleh Kerajaan Persekutuan yang terdahulu.
“ISMA berasa kesal dengan perkembangan terbaharu berkenaan pembatalan rayuan terhadap kes kalimah Allah oleh kerajaan.
“Kerajaan tidak perlu bertindak terburu-buru dengan membatalkan rayuan pembatalan kes kalimah Allah ini, malah dilakukan secara senyap di luar pengetahuan masyarakat dan umat Islam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Bukan itu sahaja, Ustaz Shuhaib berkata, tindakan tersebut dipercayai boleh menimbulkan kegusaran apatah lagi ia melibatkan kepentingan umat Islam yang merupakan majoriti di negara ini.
Pada masa sama, beliau menyifatkan tindakan dangkal oleh pihak kerajaan ini agak tidak beradab kerana telah membelakangkan semua pihak yang berkepentingan dalam kes ini seperti Majlis Raja-Raja, Majlis Agama Islam Negeri, pasukan peguam yang terlibat secara langsung dalam kes ini dan juga umat Islam secara keseluruhannya.
Justeru, ISMA mendesak supaya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pihak kerajaan menarik semula pembatalan rayuan terhadap kes ini demi kepentingan agama Islam dan umat Islam di negara ini.
Semalam, Kementerian Dalam Negeri dan kerajaan Malaysia menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang memutuskan penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah Allah dan tiga perkataan Arab yang lain dalam penerbitan bahan agama mereka bagi tujuan pembelajaran.
Notis pemberhentian rayuan semakan kehakiman itu difailkan Pejabat Peguam Negara di Pejabat Pendaftar Mahkamah Rayuan di Putrajaya, pada 18 April lalu.
Notis berkenaan menyatakan bahawa KDN dan kerajaan Malaysia tidak berniat untuk meneruskan rayuan yang difailkan pada 12 Mac 2021 dan memberhentikan keseluruhan rayuan tanpa sebarang perintah terhadap kos.
Ditanya alasan KDN menarik semula rayuan berkenaan, Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pihaknya akan menghuraikan mengenai isu itu pada satu sidang media dalam masa terdekat.