Berita Utama

Tindakan KDN tak wajar, bimbang kalimah Allah disalah guna: Aminuddin

Apakah ‘Madani' berkonsepkan ideologi liberal-sekular Barat?

BANGI, 25 Syawal 1444H, Selasa – Tindakan kerajaan dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) menarik semula rayuan kes penggunaan kalimah Allah terhadap keputusan Mahkamah Tinggi disifatkan sebagai tidak wajar.

Jurucakap Gagasan Bangsa, Aminuddin Yahya berkata, perkara itu dibimbangi akan menyebabkan kalimah Allah banyak disalah guna sekaligus menimbulkan banyak kekeliruan terutamanya dalam kalangan generasi muda pada masa hadapan.

“Kita tidak menolak akan kemungkinan aqidah umat Islam secara umumnya di negara ini boleh terganggu dengan penyelewengan-penyelewengan yang bakal berlaku yang tidak tercapai dek akal kini,” tegasnya dalam satu kenyataan.

Beliau juga mempersoalkan konsep ‘Madani’ pihak kerajaan yang dilihat gagal mempertahankan kesucian serta kedaulatan agama bagi umat Islam.

“Jadi, persoalannya ialah apa sebenarnya maksud di sebalik konsep ‘Madani’ yang dikatakan sebagai masyarakat yang bertamadun, maju, progresif dan sebagainya.

“Apakah ini hanya satu retorik atau sebenarnya ianya ‘Madani’ yang berkonsepkan ideologi liberal-sekular Barat?

“Maka, kita persoalkan di mana asas-asas aqidah, syakhsiyyah dan sebagainya yang ada dalam konsep ‘Madani’ kerajaan hari ini?,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, tindakan kerajaan yang mengambil remeh isu ini memberi ancaman kepada kesucian agama Islam.

“Mereka selalu menyangkal bahawa Islam tidak terancam. Maka ini antara bukti terbesar dan menjadi lebih besar dengan apa yang kerajaan lakukan terhadap kes ini.

“Apa yang kita boleh harap lagi dengan kerajaan pada hari ini jika kesucian kalimah Allah pun tidak dapat dipertahankan?,” soalnya.

Semalam, kerajaan Malaysia dan KDN menarik semula rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang memutuskan penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah Allah dan tiga perkataan Arab yang lain dalam penerbitan bahan agama mereka bagi tujuan pembelajaran.

Notis tersebut menyatakan bahawa pihak KDN dan kerajaan Malaysia tidak berniat untuk meneruskan rayuan yang difailkan pada 12 Mac 2021 dan memberhentikan keseluruhan rayuan tanpa sebarang perintah terhadap kos.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution berkata, sidang media akan diadakan dalam masa terdekat bagi menjawab isu tersebut.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button