Berita Utama

Ibadah korban di Bumi Anbia, Aman Palestin sasar sumbangan RM 8 juta

522 ekor lembu dan 2,761 kambing, manfaat untuk 8,000 penerima

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 26 Syawal 1444H, Rabu – Aman Palestin Berhad meneruskan kempen Ibadah Korban di Bumi Anbia bagi tahun 2023 untuk mengajak masyarakat Malaysia berkongsi kegembiraan bersama rakyat di Palestin, Syria dan Yaman sempena sambutan Aidiladha tidak lama lagi.

Ketua Pegawai Eksekutif Aman Palestin, Awang Suffian Awang Piut berkata, pihaknya menyasarkan penyertaan sumbangan bernilai RM8 juta dengan memperuntukkan sebanyak 522 ekor lembu dan 2,761 ekor kambing.

Beliau berkata, Aman Palestin juga menyasarkan hampir 800,000 penerima bakal mendapat manfaat daripada kempen yang bukan hanya meliputi tiga negara utama, bahkan termasuk juga Malaysia serta Indonesia.

“Usaha ibadah korban di sana (Palestin, Syria dan Yaman) sudah dilaksanakan oleh Aman Palestin sejak bermulanya penubuhan Aman Palestin pada tahun 2006.

“Pada tahun 2022, Aman Palestin telah berjaya melaksanakan ibadah korban di Palestin, Syria dan Yaman dengan pelaksanaan ibadah korban yang memberi manfaat kepada 788,349 orang di sana,” katanya pada sidang media ‘Korban di Bumi Anbia’ di sini, hari ini.

Awang Suffian berkata, pencapaian yang terus meningkat setiap tahun melalui kempen itu mendorong Aman Palestin meneruskannya lagi bagi 2023 dengan membawa tema ‘Kongsi Kegembiraan, Ringankan Beban’.

“Aman Palestin membuka ruang penyertaan masyarakat untuk melaksanakan ibadah korban sebahagian lembu atau seekor kambing dan akan dijalankan di tiga negara utama iaitu Palestin, Syria dan Yaman.

“Bagi ibadah korban sejuk beku, penyembelihan dilaksanakan di India dan Brazil, dibekukan dan dihantar kepada penduduk di Gaza dan Syria dalam jangka masa tiga hingga empat bulan.

“Ibadah korban di Malaysia dan Indonesia juga dilaksanakan untuk diagihkan kepada rakyat Malaysia dan Indonesia yang memerlukan serta komuniti dan pelajar Palestin dan Yaman yang berada di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata, peserta boleh memberikan sumbangan mengikut pakej yang ditawarkan dengan kadar serendah RM10 sehingga RM2,300 bagi bahagian lembu atau seekor kambing.

“Melalui kempen ini juga, Aman Palestin akan membawa masyarakat dan para peserta ibadah korban, sama-sama menghayati ibadah korban yang mereka laksanakan melalui penghantaran Misi Kemanusiaan Ibadah Korban ke Palestin, Syria, Lubnan dan Yaman.

“Dengan pelaksanaan misi ini, Aman Palestin sedaya upaya memastikan setiap ibadah korban yang disertai oleh masyarakat dapat dilaksanakan dengan lancar,” katanya.

Sehubungan itu, peserta yang berminat menyertai kempen berkenaan boleh melayari laman web http://jommenyumbang.com/ms/kempen/ibadah-korban-di-bumi-anbia-2023 atau hadir ke 20 pejabat cawangan Aman Palestin di seluruh negara.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button