Berita Utama

Kabinet bentang rancangan perkukuh dasar penggunaan kalimah ‘Allah’ kepada Majlis Raja-Raja

Anwar maklumkan YDPA perkenan jemaah menteri berbuat demikian

PUTRAJAYA, 26 Syawal 1444H, Rabu – Jemaah Menteri akan membentangkan kepada Majlis Raja-raja cadangan kerajaan untuk memperkukuh dasar berhubung penggunaan kalimah Allah, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata, Yang di-Pertuan Agong telah memperkenankan Jemaah Menteri berbuat demikian.

Beliau berkata, Kabinet dalam mesyuaratnya pada Rabu (17 Mei) telah membincangkan keputusan menarik balik rayuannya terhadap kes Jill Ireland berhubung bahan penerbitan yang mengandungi kalimah Allah.

“Jemaah Menteri mengambil maklum bahawa keputusan (menarik diri) hanya membabitkan tentang urusan pentadbiran dan ia tidak mengubah keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Persekutuan pada 2014.

“Kabinet ingin menegaskan bahawa kerajaan menghormati, mengiktiraf dan menerima pakai enakmen negeri dan titah Yang di-Pertuan Agong pada 27 Febfuari, menyatakan bahawa dasar sedia ada mengenai penggunaan kalimah ‘Allah’ kekal,” kata Anwar dalam kenyataan.

Perdana Menteri menegaskan bahawa kerajaan akan terus mempertahankan Perlembagaan Persekutuan, khususnya Perkara 3 berhubung agama Islam sebagai agama Persekutuan, dan agama lain boleh diamalkan dengan aman dan harmoni.

Pada 15 Mei, kerajaan menarik balik rayuannya terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan kalimah Allah, antara lain, digunakan oleh orang bukan Islam dalam penerbitan untuk tujuan pendidikan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menjelaskan langkah itu disebabkan percanggahan yang ditemui antara perintah pentadbiran KDN dan keputusan Kabinet yang dibuat pada 1986.

Katanya lagi, ini berkaitan rampasan bahan terbitan ketika itu dan bukannya isu teologi yang melibatkan penggunaan perkataan tersebut.

Jelas Saifuddin, kementerian telah meneliti keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 10 Mac 2021, dan mendapati terdapat percanggahan dalam arahan pentadbiran yang menyebabkan keputusan itu memihak kepada Jill Ireland.

Hakim Nor Bee Ariffin, yang kini hakim Mahkamah Rayuan, telah memutuskan bahawa arahan Kementerian Dalam Negeri 1986 untuk melarang penggunaan perkataan “Allah”, “Baitullah”, “Kaabah” dan “solat” oleh orang bukan Islam adalah menyalahi undang-undang dan tidak berperlembagaan.

Ini berikutan keputusan mahkamah membenarkan semakan kehakiman oleh seorang wanita Kristian berketurunan Melanau, Jill Ireland Lawrence Bill, untuk menggunakan hak perlembagaannya untuk mengamalkan agamanya.

Tindakan undang-undang oleh Jill Ireland bermula pada 2008 apabila lapan CD yang dibawanya dari Indonesia telah dirampas oleh pegawai Kastam di sebuah lapangan terbang di Sepang kerana mengandungi perkataan ‘Allah’.

Dia kemudian memfailkan semakan kehakiman untuk mencabar penyitaan CD itu dan meminta perisytiharan daripada mahkamah bahawa hak perlembagaannya telah dicabuli, antara lain.

Pada 2014, Mahkamah Tinggi memerintahkan Kementerian Dalam Negeri memulangkan CD itu kepadanya tetapi tidak menangani perkara Perlembagaan kerana ia terikat dengan keputusan Mahkamah Persekutuan.

Perintah untuk memulangkan CD itu dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan pada tahun berikutnya tetapi Jill Ireland meneruskan cabarannya terhadap arahan Kementerian Dalam Negeri yang mengakibatkan rampasan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button