Subsidi tiket penerbangan ke Sabah, Sarawak bermula Sabtu
Harga tiket sehala ditetapkan maksimum RM300 untuk tempoh 3 hari

BANGI, 27 Syawal 1444H, Khamis – Kerajaan akan membeli 17,708 baki tiket penerbangan sehala dari Semenanjung Malaysia ke Sabah dan Sarawak, untuk dijual semula pada harga maksimum RM300 sempena perayaan Pesta Kaamatan dan Hari Gawai.
Perkara itu diumumkan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke di bawah inisiatif bantuan subsidi pembelian tiket penerbangan sehala bagi laluan-laluan dari Semenanjung Malaysia ke Sabah dan Sarawak sempena kedua-dua perayaan berkenaan.
Beliau berkata, kementeriannya telah berunding dengan syarikat-syarikat penerbangan untuk satu program perintis, di mana kerajaan akan membeli semua baki tiket penerbangan sehala dari Semenanjung Malaysia ke Sabah dan Sarawak ketika tempoh tiga hari perjalanan sebelum tarikh sambutan Pesta Kaamatan dan Hari Gawai.
“Harga tiket penerbangan sehala bagi setiap penumpang bagi laluan-laluan domestik yang menghubungkan Semenanjung Malaysia dengan Sabah/Sarawak akan ditetapkan sebanyak maksimum RM300 atau mengikut harga sebenar tambang sekiranya harga tiket tersebut kurang daripada RM300.
“Harga ini tidak termasuk cukai dan fi. Setakat 17 Mei 2023, baki tiket penerbangan antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak adalah sebanyak 17,708 tiket penerbangan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Loke memaklumkan, sebanyak 8,903 baki tiket penerbangan untuk laluan Semenanjung Malaysia ke Sabah bagi perayaan Pesta Kaamatan bermula 27, 28 dan 29 Mei ini.
Sementara, 8,805 lagi baki tiket penerbangan untuk laluan Semenanjung Malaysia ke Sarawak bagi perayaan Hari Gawai bermula 29, 30 dan 31 Mei.
Beliau berkata, anggaran kos keseluruhan bagi bantuan subsidi pembelian tiket penerbangan ke Sabah dan Sarawak sempena dua perayaan itu adalah di antara RM5.8 juta hingga RM11.4 juta meliputi bayaran perolehan baki tiket dan bayaran sewa khas penerbangan.
“Memandangkan tiket penerbangan bagi laluan Johor Bahru-Sibu bagi tempoh tiga hari sebelum perayaan Hari Gawai telah pun habis dijual, Kementerian Pengangkutan dengan kerjasama Batik Air akan menyediakan perkhidmatan penerbangan sewa khas (charter) dengan kekerapan sekali sehari pada tarikh-tarikh tersebut tertakluk kepada permintaan sebenar.
“Harga tiket penerbangan sehala bagi setiap penumpang bagi laluan ini juga akan turut ditetapkan sebanyak RM300 dan harga ini tidak termasuk cukai dan fi,” katanya.
Beliau berkata, penetapan harga tambang tetap akan dilaksanakan bermula jam 12.01 tengah malam pada 20 Mei 2023 dan orang ramai boleh membeli tiket melalui laman sesawang syarikat-syarikat penerbangan mulai tarikh berkenaan.
Katanya, terma dan syarat tiket menetapkan perubahan tarikh atau pertukaran penerbangan tidak dibenarkan, serta sah untuk tarikh atau penerbangan yang ditunjukkan pada tiket.
“Tiada pertukaran nama dibenarkan dan tiket penerbangan yang telah dibeli tidak boleh dikembalikan.
“Dalam hubungan ini, mungkin terdapat beberapa variasi kepada terma dan syarat yang ditambahbaik dan ditawarkan oleh sesetengah syarikat penerbangan.
“Dengan pembelian tiket ini, pengguna akan dilindungi mengikut Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia 2016 (MACPC),” katanya.