Berita UtamaDunia

6.2 juta kanak-kanak Turkiye, Syria trauma impak gempa bumi

Bukan hanya hilang keluarga, kehidupan berubah bila rumah musnah

ANKARA, 28 Syawal 1444H, Jumaat – Lebih enam juta kanak-kanak di Turkiye dan Syria berdepan pelbagai cabaran, selain masih trauma untuk meneruskan kehidupan selepas tragedi gempa bumi dahsyat melanda di kedua-dua negara itu.

Menurut laporan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), 2.5 juta kanak-kanak di Turkiye dan lebih 3.7 juta di kawasan kejiranan Syria kini memerlukan bantuan kemanusiaan.

Ketua Pengarah UNICEF, Catherine Russell yang membuat lawatan di kedua-dua kawasan terjejas berkata, kanak-kanak di Turkiye dan Syria terpaksa meneruskan kehidupan dalam keadaan sukar selepas kehilangan keluarga serta individu tersayang.

“Gempa yang berlaku bukan sahaja menyebabkan kehilangan keluarga tetapi juga terpaksa berdepan tekanan dan emosi tidak stabil apabila menyaksikan sekolah, rumah dan tempat mereka tinggal juga hilang sekelip mata menyebabkan seluruh kehidupan mereka berubah,” katanya.

UNICEF menganggarkan kira-kira 51,000 kanak-kanak yang berusia lima tahun ke bawah kini berdepan kekurangan zat makanan yang serius.

Manakala 76,000 wanita hamil dan masih menyusu perlu rawatan berikutan masalah sama, sekali gus menyaksikan situasi itu berisiko kepada dua golongan terbabit.

Gempa yang berlaku pada awal Februari lalu, diikuti dengan beberapa gempa susulan telah mengorbankan kira-kira 55,000 penduduk, selain menyebabkan ribuan mengalami kecederaan dan kehilangan tempat tinggal.

Di Syria pula, penduduk berdepan dengan peningkatan harga makanan sehingga 121 peratus tahun lalu, selain banyak kemudahan terutama membabitkan kemudahan perubatan musnah. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button