Berita Utama

‘6 bulan jadi wakil rakyat, tiada satu sen peruntukan dari Pusat’

MP Hulu Selangor dedah terpaksa bantu rakyat ikut kemampuan

BANGI, 28 Syawal 1444H, Jumaat – Ahli Parlimen Hulu Selangor, Hasnizan Harun mendedahkan tidak menerima sebarang peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan, meskipun sejak diangkat menjadi wakil rakyat selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Beliau berkata, selama enam bulan menjadi Ahli Parlimen Hulu Selangor, beliau dan rakan pembangkang lain tidak menerima walaupun satu sen dana peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan.

“Masa berlalu cukup pantas hari ini 19 Mei 2023 genap enam bulan saya telah diamanahkan oleh rakyat Hulu Selangor untuk memimpin Hulu Selangor.

“Selama 6 bulan ini jugalah saya dan teman-teman MP Pembangkang tidak terima satu sen pun dana peruntukan dari kerajaan Persekutuan,” kongsinya di media sosial miliknya, hari ini.

Menurut Hasnizan, situasi itu menyukarkan beliau menjalankan tanggungjawab dan amanah kepada rakyat, namun tetap membantu mengikut kemampuan.

“Terlalu ramai yang berjumpa, menghantar surat untuk memohon sumbangan, ada dalam kalangan mereka memang jelas memerlukan bantuan.

“Saya hanya mampu membantu ikut kepada kemampuan saya sahaja, itupun kawan-kawan dan NGO turut membantu saya.

“Semoga Allah beri kekuatan kepada kami MP Pembangkang untuk terus berkhidmat kepada masyarakat,” katanya.

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan kerajaan secara dasar bersedia memberikan peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang, namun ia hanya membabitkan perbelanjaan berkaitan hal pentadbiran.

Ahmad Zahid berkata, rundingan berkaitan peruntukan sedang dilakukan Timbalan Perdana Menteri II, Datuk Seri Fadillah Yusof bagi memuktamadkan keputusan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button