BERJASA mahu lahirkan modal insan berdaya saing menjelang 2040
Tiada lagi kebergantungan pada pakar luar untuk beri khidmat nasihat

BANGI, 28 Syawal 1444H, Jumaat – Hala tuju pendidikan negara perlu diselarikan dengan perancangan pembangunan supaya semua rakyat mendapat jaminan pekerjaan mengikut keperluan semasa, termasuk melahirkan lebih ramai modal insan yang berdaya saing.
Atas sebab itu, Falsafah Pendidikan Kebangsaan memainkan peranan penting dalam mempertahankan identiti nasional, mengembangkan potensi individu dan mempersiapkan modal insan dalam pembangunan negara pada masa hadapan.
Ketua Pemuda BERJASA, Fahmi Bazlan berkata, melalui langkah ini, sasaran untuk Malaysia menjadi negara maju tiada pengangguran dan mampu memberi gaji bermaruah kepada rakyatnya.
“Agak malang dan rugi sekiranya modal insan negara tiada atau sekiranya ada mereka akan memberi khidmat kepada negara luar kerana tenaga dan kepakaran mereka tidak dapat diposisikan dengan sebaik mungkin oleh negara.
“Kebergantungan Malaysia kepada tenaga asing amat serius dan perlu dikekang oleh kerajaan sebaik mungkin,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Fahmi, sebanyak RM34 bilion wang dibawa keluar oleh warga asing setiap tahun, dan ia belum termasuk dengan modal insan negara yang sememangnya berkhidmat di luar negara serta tidak memberi khidmat secara langsung kepada Malaysia.
Justeru, Impian Nasional BERJASA 2040 adalah salah satu usaha untuk semua rakyat Malaysia bersama dalam merancang semula dan menambahbaik sistem pendidikan sedia ada, supaya generasi baharu bakal menjadi modal insan negara yang bersatu, berintegriti serta berdaya saing.
“Menjelang 2040, kita tidak mahu pakar-pakar luar untuk memberi khidmat nasihat atau lebih menyedihkan mengambil kesempatan atas sumber kekayaan negara.
“Modal insan negara akan menumpahkan kesetiaan dengan membangunkan negara dengan kepakaran mereka sendiri.
“Mereka arif tentang bagaimana mencipta kejayaan dan seterusnya membina peradaban negara untuk 100 tahun akan datang,” katanya.