Hidup tak bercampur punca gagal faham sensitiviti Islam
'Azan, kalimah Allah isu sensitif, kenapa masih tak faham?'

BANGI, 28 Syawal 1444H, Jumaat – Pendakwah bebas, Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah mendakwa sikap tidak pernah bercampur dan bergaul dengan golongan majoriti Bumiputera menyebabkan masyarakat bukan Melayu di negara ini tidak memahami sensitiviti bangsa Melayu serta agama Islam.
Beliau percaya, pelbagai kenyataan bersifat biadab yang dikeluarkan kebelakangan ini terhadap agama Islam adalah berpunca daripada sikap pentingkan bangsa tertentu, sehingga gagal memahami sensitiviti penduduk majoriti di negara ini.
Menurut Ridhuan Tee, toleransi antara penganut agama yang berbeza akan meningkat sekiranya golongan bukan Melayu tidak hidup secara segregasi.
“Inilah akibatnya apabila mereka ini tidak pernah bercampur dan bergaul dengan majoriti. Hanya dalam kepompongnya sahaja.
“Lahir dalam keluarga Cina, cakap Cina, sekolah Cina, cakap Cina, habis sekolah balik rumah, jumpa kawan-kawan sebangsa, cakap Cina.
“Tidak terbiasa untuk bergaul dengan majoriti, bergaul dengan Melayu dan Bumiputera. Mana tidak jadi kamunis,” katanya.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai isu kontroversi mengaitkan penggunaan pembesar suara bagi laungan azan yang dibawa pada mesyuarat Badan Pengurusan Bersama (JMB) di sebuah kondominium di Tanjung Tokong, Pulau Pinang.
Sebelum ini, tular satu klip video di media sosial menunjukkan satu sesi dialog antara pihak JMB sebuah kondominium di Tanjung Tokong dengan penduduk berhubung isu semasa di kediaman itu.
Bagaimanapun, keadaan menjadi tegang apabila pihak JMB mengutarakan isu pembesar suara di surau kondominium berkenaan.
Selasa lalu, media melaporkan Pengerusi JMB Tri Pinnacle, Alex Low tampil memohon maaf secara terbuka kepada semua penduduk muslim di kondominium itu.
Mengulas lanjut, Ridhuan Tee berkata, dirinya terbuka dan berlapang dada sekiranya ada bukan muslim yang mahu bertanya mengenai perkara berkaitan hal ehwal agama Islam.
“Kalau kamu tidak tahu mengenai Islam dan sensitiviti penganutnya, majoriti Melayu datang bertanya, aku sentiasa berlapang dada dan terbuka menerima kamu, tetapi jangan keluarkan kenyataan yang kurang ajar.
“Isu azan, kalimah Allah contohnya sangat sensitif, kenapa kamu masih tidak faham? Orang Melayu Islam begitu memahami sensitiviti bukan Islam, malah tak pernah kacau pun hak kamu,” katanya.
Atas sebab itu, beliau menegaskan supaya pihak berkuasa perlu segera melaksanakan sekolah satu aliran bagi memastikan pergaulan antara kaum berlaku.
“Saya ada ramai kawan Cina daripada sekolah kebangsaan, mereka bercampur memang perangai dan sikap mereka jauh berbeza daripada sekolah Cina seratus peratus.
“Mereka lebih lembut, terbuka dan amat memahami berbanding mereka yang ‘pure’ sekolah Cina. Saya tidak kata semua, tetapi majoriti macam itulah,” katanya.