Berita Utama

Kenaikan OPR bebas campur tangan politik

Penetapan kadar dikawal sepenuhnya MPC, Bank Negara

BANGI, 28 Syawal 1444H, Jumaat – Kerajaan tidak mempunyai kuasa mempengaruhi dasar monetari negara kerana urusan mengenai kenaikan dan penurunan kadar dasar semalaman (OPR) dikawal sepenuhnya Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM).

Pensyarah Kanan di Jabatan Kewangan, Fakulti Perniagaan dan Ekonomi Universiti Malaya (UM), Dr Mohd Zaidi Md Zabri berkata, MPC secara khususnya dan BNM umumnya dipertanggungjawab menggubal, melaksana serta mengendalikan dasar monetari negara.

Beliau berkata, salah satu alat monetari di bawah bidang kuasa MPC adalah penetapan kadar OPR mempengaruhi kos pinjaman isi rumah, perniagaan dan kerajaan.

“Melalui pelarasan kadar OPR, MPC boleh mempengaruhi kredit dan bekalan wang dalam ekonomi yang boleh mengawal kadar inflasi, pertumbuhan ekonomi dan kestabilan kewangan.

“Selain daripada OPR, MPC juga menggunakan pelbagai alat dasar monetari seperti operasi pasaran terbuka dan penetapan keperluan rizab berkanun bank di bawah seliaan BNM untuk terus mempengaruhi ketersediaan dan kos kredit pasaran kewangan negara,” katanya.

Menulis di Berita Harian (BH) hari ini, Dr Mohd Zaidi berkata, fakta mengenai MPC yang jarang disingkap umum adalah jawatankuasa bebas dengan tahap autonomi tinggi serta terlindung daripada campur tangan politik.

“Anggota MPC dipastikan tidak terkait dengan mana-mana parti politik atau kumpulan berkepentingan bagi memastikan mereka boleh membuat keputusan dipacu data (data-driven) dan analisis ekonomi teguh (robust economic analysis).

“Selain itu, MPC mempunyai mandat jelas untuk mengekalkan kestabilan harga dan menyokong pertumbuhan ekonomi mampan dan keputusannya dipandu rangka kerja telus dan berasaskan peraturan tertakluk kepada penelitian awam,” katanya.

Beliau berkata, kebebasan MPC diperuntukkan dalam Seksyen 22(2) Akta BNM 2009 iaitu Dasar Monetari Bank (Negara Malaysia) hendaklah dirumuskan dan dilaksanakan secara autonomi oleh BNM tanpa apa-apa pengaruh luar.

“Secara keseluruhannya, Seksyen 22 Akta BNM 2009 bersama-sama peruntukan lain dalam akta itu membantu memastikan kebebasan dan autonomi BNM dalam penggubalan dan pelaksanaan dasar monetari.

“Kebebasan ini amat penting bagi mengekalkan kredibiliti dan keberkesanan BNM mencapai objektif utamanya iaitu menggalakkan kestabilan monetari dan kewangan di negara ini,” katanya.

Pautan asal;

https://www.bharian.com.my/rencana/lain-lain/2023/05/1103209/penetapan-kadar-opr-bebas-pengaruh-politik-dikawal-mpc

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button