Berita Utama

Pemimpin Melayu, Islam perlu bersatu pertahan kalimah Allah

Penjelasan PM, menteri KDN hanya tambah resah umat Islam: PAS

BANGI, 28 Syawal 1444H, Jumaat – PAS hari ini menyeru semua pemimpin politik Melayu, Islam supaya bersatu dalam meletakkan kepentingan kalimah Allah sebagai keutamaan tertinggi.

Justeru, PAS mengajak semua pemimpin politik Melayu, Islam untuk mengetepikan seketika segala perbezaan, pertembungan dan perselisihan yang bersifat cabang dalam agama.

Ketua Penerangan PAS, Ir Ts Khairil Nizam Khirudin berkata, apa yang menjadi keperluan hari ini adalah usaha menyatukan pemimpin-pemimpin politik Melayu Islam, NGO dan NGI Islam di negara ini di bawah satu payung mempertahankan kesucian kalimah Allah.

“Amat mengecewakan apabila penjelasan daripada Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri berkenaan isu kalimah Allah ini hanya menambahkan lagi keresahan umat Islam di negara ini.

“Kerunsingan ini pastinya akan mewujudkan suasana panik, tidak teratur dan resah dalam kalangan umat Islam selaku kaum paling majoriti di Malaysia.

“Marilah kita hayati syair bekas Yang Dipertua Agung PAS, Allahyarham Dr Burhanuddin Al-Hilmy berbunyi, ‘Di atas robohnya Kota Melaka, kita bangunkan jiwa merdeka. Bersatu padulah segenap baka, membela hak keadilan pusaka’,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Isnin lalu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan kerajaan Malaysia dilaporkan menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang memutuskan penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah Allah dan tiga perkataan Arab yang lain dalam penerbitan bahan agama mereka bagi tujuan pembelajaran.

Keputusan Mahkamah Tinggi itu dibuat pada 10 Mac 2021 selepas membenarkan permohonan semakan kehakiman seorang wanita beragama Kristian, Jill Ireland Lawrence Bill yang memohon pengisytiharan mengenai hak Perlembagaannya berhubung penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan agama berkenaan.

Selepas dikritik, Anwar memaklumkan, penggunaan kalimah Allah hanya terpakai oleh penganut agama Kristian di Sarawak dalam penerbitan bahan agama mereka bagi tujuan pendidikan, dan tidak terpakai di negeri-negeri lain.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button