
KUALA LUMPUR, 29 Syawal 1444H, Sabtu – Bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa hari ini mengesahkan sudah menghantar permohonan untuk menyertai PAS.
Beliau yang dipecat dari UMNO enam bulan lalu berkata, keputusan itu dibuat selepas meneliti senario politik negara dan keadaan dalam UMNO itu sendiri.
Presiden Pertubuhan Muafakat Nasional (MN) itu berkata, tempoh enam bulan tidak berparti digunakannya untuk berfikir secara mendalam memerhatikan arus dan pola politik negara tanpa dipengaruhi emosi dan sentimen.
Beliau mendakwa, selain beliau, 10,000 lagi individu turut menyertai parti itu.
“Saya ingin menjelaskan kenyataan Datuk Seri Takiyuddin Hassan (Timbalan Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN) yang menyatakan saya antara 10 individu yang telah mengisi borang membuat permohonan untuk menyertai parti PAS.
“Saya nak membuat pembetulan kepada kenyataan tersebut, kenyataan itu menyebut saya dan 10 orang, sebenarnya bukan 10 tetapi lebih daripada 10,000 orang bersama-sama saya,” katanya seperti dilapor media tempatan.
Bekas Ahli Parlimen Ketereh itu berkata, dengan membuat keputusan kembali aktif dalam politik, sekiranya diterima untuk menjadi ahli PAS dan PN beliau menjanjikan perjuangan habis-habisan.
“Jadi, minggu kedua bulan Jun, kita tunggu keputusan daripada PAS,” katanya.