Berita Utama

Janggal UMNO minta sokong DAP: Muhyiddin

Presiden Bersatu percaya UMNO kini sudah sampai ke penghujung hayat

PAGOH, 29 Syawal 1444H, Sabtu – Adalah di luar kebiasaan apabila seorang pemimpin UMNO mengarahkan penyokong parti untuk membuang undi kepada DAP dalam enam pilihan raya negeri akan datang, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Pengerusi Perikatan Nasional yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia itu berkata, sepanjang 40 tahun beliau bersama UMNO, beliau tidak pernah mendengar perkara sebegitu sebelum ini.

“Ini kali pertama saya mendengar kata-kata sebegitu daripada seorang pemimpin UMNO, sesuatu yang tidak normal.

“Terpulang kepada penyokong mereka yang masih mempertahankan prinsip UMNO sama ada mahu mendengar arahan janggal salah seorang pemimpin parti mereka atau tidak,” katanya.

Dakwanya, berdasarkan kajian yang dijalankan Bersatu pada pilihan raya sebelum ini termasuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), isu ubah undi UMNO kepada DAP tidak pernah berlaku.

Muhyiddin berkata, UMMO kini telah tersasar daripada perjuangan dan ideologi asal apabila pemimpinnya mahu penyokong mengundi DAP.

“Tindakan terkini adakan konvensyen terbesar, tutup potret wajah Presiden UMNO terdahulu, kemudian buat kenyataan yang bercanggah dengan perjuangan UMNO, saya percaya UMNO sudah sampai ke penghujung hayat.

“Pada PRN di enam negeri kelak, ia akan menjadi bukti bahawa sebahagian besar orang Melayu tidak mahu menyokong perjuangan UMNO lagi,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button