Muslim Kanada fail tuntutan mahkamah batal larangan solat di sekolah
Menteri Pendidikan keluarkan arahan larangan aktiviti keagamaan

OTTAWA, 29 Syawal 1444H, Sabtu – Pertubuhan Islam di Kanada meminta mahkamah mengisytiharkan proklamasi wilayah di Quebec yang melarang aktiviti keagamaan di sekolah, sebagai tidak berperlembagaan.
Enam kumpulan – termasuk Persatuan Muslim Kanada, Forum Muslim Kanada dan empat organisasi tempatan – memfailkan tuntutan mahkamah minggu ini meminta Mahkamah Tinggi Quebec untuk “mengisytiharkan tidak sah, tidak terpakai, tidak beroperasi, atau membatalkan” perintah yang melarang solat di sekolah awam.
Kumpulan itu berhujah bahawa perintah itu bersifat diskriminasi dan melanggar Piagam Hak dan Kebebasan Kanada.
Arahan Menteri Pendidikan, Bernard Drainville yang melarang solat di sekolah diumumkan pada 19 April selepas terdapat laporan sekurang-kurangnya dua sekolah Kanada membenarkan pelajar berkumpul di kawasan sekolah untuk solat.
Drainville mengeluarkan arahan yang secara rasmi melarang sebarang amalan aktiviti keagamaan, sama ada di sekolah, pusat latihan vokasional atau pusat pendidikan dewasa.
Pada masa itu, beliau mempertahankan keputusannya dengan mendakwa ruang sekolah tidak boleh digunakan untuk tujuan amalan agama seperti solat atau amalan lain yang sama.
Dalam pemfailan mahkamah, kumpulan itu menulis bahawa sekularisme negara bertujuan untuk memastikan negara itu tidak beragama. – Agensi