Zahid akui susah ubah pendirian penyokong UMNO terima DAP
Lebih 22 tahun tanam kebencian, tak mudah dirungkai

MACHANG, 29 Syawal 1444H, Sabtu – Tidak mudah mengubah pendirian penyokong dan akar umbi UMNO menerima kehadiran parti DAP dalam kerajaan Madani.
Perkara itu diakui Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, hari ini namun, katanya, ia tidak mustahil untuk dilakukan.
Beliau berkata, sejak 22 tahun lalu persepsi negatif mengenai parti itu telah diterapkan oleh kepimpinan terdahulu semasa memerintah negara.
“Lebih dua dekad menanamkan kebencian kepada penyokong terhadap sesuatu kumpulan atau parti tersebut.
“Tempoh itu bukan mudah untuk dirungkaikan tapi tidak mustahil dilakukan,” katanya seperti dilapor Sinar Harian.
Tidak mahu berputus asa, Ahmad Zahid berkata, pemimpin parti akan menyantuni kumpulan sasaran untuk meyakinkan penyokong UMNO memberi sokongan kepada DAP pada Pilihan Raya Negeri (PRN).
Katanya, dahulu pengundi Barisan Nasional (BN) turut memberi sokongan kepada calon MIC dan MCA.
Semalam, Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan meminta pengundi UMNO di enam negeri yang akan menghadapi PRN diminta memangkah calon DAP di kawasan masing-masing demi mengukuhkan kerajaan perpaduan.
Katanya, apabila ahli UMNO sudah berada di dalam kerajaan, maka ahli hendaklah mengikut disiplin parti.