Berita Utama

Ribut: Peruntukan kecemasan baiki sekolah rosak di KL, Selangor

Pembaikan dilaksana segera supaya PdP diteruskan tanpa gangguan

PUTRAJAYA, 1 Zulkaedah 1444H, Ahad – Kementerian Pendidikan (KPM) akan segera menyalurkan peruntukan kecemasan bagi membaiki 36 buah sekolah di Kuala Lumpur dan Selangor yang rosak akibat kejadian ribut yang melanda, Jumaat lalu.

KPM dalam kenyataan hari ini memaklumkan, peruntukan berkenaan akan disalurkan kepada Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPWPKL) dan Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS).

Menurut KPM, kejadian ribut berkenaan mengakibatkan kerosakan 27 buah sekolah di Kuala Lumpur dan sembilan buah sekolah di Selangor.

Katanya, JPWPKL, JPNS dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) akan membuat penilaian lanjut terhadap kerosakan yang berlaku di sekolah berkenaan dengan kerjasama daripada Jabatan Kerja Raya (JKR).

“Seterusnya, pihak JKR akan mengemukakan laporan penilaian berserta anggaran kos kepada KPM. Penyaluran peruntukan penyelenggaraan untuk tujuan membaiki kerosakan di bawah kecemasan akan disalurkan kepada JPWPKL dan JPNS dengan kadar segera,” katanya.

Menurut kenyataan itu, KPM berkata, JPWPKL, JPNS dan PPD akan melaksanakan pembaikan serta pembersihan segera bagi membolehkan sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) diteruskan tanpa sebarang gangguan.-  Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button