Dunia

Russia senarai hitam 500 warga AS termasuk Obama

Sebagai tindak balas kepada langkah anti-Russia diumum Washington

MOSCOW, 1 Zulkaedah 1444H, Ahad – Moscow melarang kemasukan 500 warga Amerika Syarikat (AS), termasuk bekas Presiden Barack Obama ke Russia, lapor agensi berita Anadolu.

Kementerian Luar Russia mengeluarkan senarai itu pada Jumaat, sebagai tindak balas kepada langkah sekatan anti-Russia yang diumumkan White House pada 19 Mei.

“Sebagai tindak balas kepada sekatan anti-Russia, yang kerap diperkenalkan oleh pentadbiran (presiden) Joe Biden, yang direka mengikut rancangan Washington untuk menyebabkan kerosakan maksimum kepada Russia.

“(Ia) secara peribadi mempengaruhi pegawai dan rakyat biasa negara kita, sebagai tindakan balas, kemasukan ke Persekutuan Russia ditutup untuk 500 rakyat AS,” kata kementerian.

Kementerian memaklumkan, senarai itu termasuk ketua semasa pelbagai peringkat kuasa eksekutif, bekas pegawai, ahli Parlimen yang dipilih buat kali pertama pada November 2022, tokoh awam dan ketua syarikat yang membekalkan senjata ke Ukraine.

Selain itu, Moscow juga menyenaraihitamkan individu dalam kerajaan dan agensi penguatkuasaan undang-undang yang terbabit secara langsung dalam penganiayaan penentang, yang dipanggil ‘Serangan Capitol’.

Perkhidmatan diplomatik itu turut mengumumkan sekali lagi penolakan terhadap permohonan Kedutaan AS di Moscow untuk melawat wartawan, Evan Gershkovich – yang ditangkap atas tuduhan mengintip.

Katanya, keputusan itu sebagai tindak balas kepada langkah Washington menolak permohonan visa AS oleh wartawan Russia, yang akan menemani Menteri Luar, Sergey Lavrov bagi lawatannya ke ibu pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada April.- Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button