Berita UtamaDunia

WHO lancar rangkaian global kesan ancaman penyakit berjangkit

Platform IPSN bantu hubungkan negara, kumpul dan analisis sampel

GENEVA, 1 Zulkaedah 1444H, Ahad – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melancarkan rangkaian global untuk membantu mengesan ancaman penyakit berjangkit seperti COVID-19 dengan pantas dan berkongsi maklumat untuk mencegah penyebarannya.

Menurut WHO, Rangkaian Pengawasan Patogen Antarabangsa (IPSN) akan menyediakan platform untuk menghubungkan negara dan wilayah, selain menambah baik sistem untuk mengumpul serta menganalisis sampel.

Katanya, rangkaian ini bertujuan untuk membantu memastikan ancaman penyakit berjangkit dikenal pasti dan dikesan dengan pantas serta maklumatnya dikongsi dan diambil tindakan untuk mencegah pandemik seperti wabak COVID-19.

Rangkaian IPSN akan bergantung pada genomik patogen untuk menganalisis kos genetik virus, bakteria dan organisma lain yang menyebabkan penyakit bagi memahami potensi penularan serta cara mengawalnya daripada merebak.

Data yang dikumpulkan akan dimasukkan ke dalam sistem pengawasan penyakit yang lebih luas bagi mengenal pasti serta mengesan penyakit, dalam usaha membendung wabak serta membangunkan rawatan dan vaksin.

Ketua WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus memuji matlamat rangkaian baharu itu, dan menegaskan bahawa IPSN boleh memainkan peranan penting dalam aspek keselamatan kesihatan.

“Seperti yang ditunjukkan dengan jelas kepada kita ketika pandemik COVID-19, dunia lebih kuat apabila ia bersatu untuk memerangi ancaman kesihatan bersama,” katanya.

IPSN – yang diumumkan sehari sebelum mesyuarat tahunan negara anggota WHO bermula di Geneva – akan mempunyai sekretariat dalam Hab WHO untuk Perisikan Pandemik dan Epidemik.- Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button