Takiyuddin tempelak Ramasamy, cubaan jadikan PAS kambing hitam
Seolah tak dapat sembunyikan prejudisnya yang tebal terhadap Islam

BANGI,2 Zulkaedah 1444H, Isnin – PAS menganggap kenyataan Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang P.Ramasamy terhadap parti itu baru-baru ini agak melucukan dan dangkal, malah cacat dari banyak perkara.
Terdahulu, P.Ramasamy menerusi satu artikel mendakwa kerajaan perlu menggunakan strategi lain untuk mencabar pendekatan agama PAS yang memecahbelahkan rakyat,
Dakwanya, pendekatan agama PAS yang memecahbelahkan adalah satu kutukan kepada keharmonian negara dan perpaduan negara.
Menyelar kenyataan itu, Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, dakwaan Ramasamy adalah satu percubaan lemah menjadikan parti itu sebagai kambing hitam atas kegagalan kerajaan sedia ada.
“Selain memperakui kegagalan berterusan Putrajaya dalam memenangi kepercayaan rakyat sejak membentuk kerajaan, ia juga merupakan satu percubaan lemah untuk menjadikan PAS sebagai kambing hitam atas kegagalan itu.
“Tindak-tanduk, kenyataan dan dasar kerajaan yang caca-merba, bercelaru, saling bercanggahan, selain kegagalan kerajaan Pakatan Harapan-Barisan Nasional menunaikan janji-janji, adalah punca utama kepada kemerosotan pengaruh dan imejnya di mata rakyat.
“Momok cakap tak serupa bikin yang meniti dari mulut ke mulut rakyat berkaitan kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah manifestasi kegagalan itu dan sebagai pembangkang PAS tidak campur tangan atau bertanggungjawab ke atas momokan tersebut,” kata Takiyuddin.
Justeru, katanya, daripada menjadikan PAS kambing hitam atau kesedaran agama dalam kalangan orang Melayu sebagai musuh perpaduan, adalah lebih berfaedah dan jujur sekiranya Ramasamy bercakap secara berterus terang kepada kerajaan yang disertai partinya.
Ini supaya memperbaiki diri dengan dasar dan sikap yang lebih layak bagi sebuah kerajaan yang dikatakan berwibawa, katanya.
Takiyuddin bagaimanapun memuji kenyataan yang disifatkannya berani oleh Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim dalam mengkritik keterlanjuran dan kesilapan kerajaan berhubung banyak isu.
Ia adalah contoh yang baik berhubung sikap seorang penyokong yang jujur dan berhemah bagi menangani masalah dan kecamuk yang dihadapi oleh kerajaan secara dalaman.
Atas dasar itu, Takiyuddin menasihatkan Ramasamy mencontohi Hassan dan tidak menyorok masalah dalaman kerajaan dengan menjadikan pihak lain sebagai sasaran.
“Sebagai sebuah parti yang terlibat dalam politik negara sejak sebelum merdeka lagi, PAS amat maklum dan insaf tentang kepentingan perpaduan dalam kalangan rakyat negara kita yang berbilang kaum dan agama.
“Sejarah membuktikan ketika negara terjerumus dalam konflik kaum yang paling buruk pun sebelum ini, negeri-negeri yang merupakan kubu kuat PAS terus aman tenteram dari segi perpaduan dan keselamatan antara kaum.
“Namun perkara yang sama tidak boleh dikatakan benar bagi negeri-negeri yang kini dianggap sebagai kubu kerajaan,” katanya.
Takiyudin melihat kenyataan Ramasamy itu sebenarnya menampakkan lagi bahawa beliau tidak dapat menyembunyikan prejudisnya yang tebal terhadap Islam sebagai agama dan juga orang Melayu sebagai kelompok kaum majoriti di negara ini.
“Perlu juga ditegaskan bahawa ini bukanlah kali pertama beliau mempamerkan belangnya itu kepada rakyat dan negara,” katanya.