Dunia perlu sedia hadapi ancaman wabak selain COVID-19
Varian lain boleh ancam lonjakan baharu penyakit, kematian

GENEVA, 3 Zulkaedah 1444H, Selasa – Walaupun COVID-19 bukan lagi kecemasan kesihatan awam global, negara-negara seluruh dunia masih perlu mengukuhkan tindak balas terhadap virus itu dan bersiap sedia untuk menghadapi ancaman penyakit serta wabak lain di masa hadapan.
Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Tedros Adhanom Ghebreyesus mengingatkan perkara itu ketika membentangkan laporan dalam Perhimpunan Kesihatan Sedunia ke-76 di Geneve, pada Isnin.
“Berakhirnya COVID-19 sebagai kecemasan kesihatan global bukanlah penamat ancaman.
“Ancaman varian lain yang muncul akan menyebabkan lonjakan baharu penyakit dan kematian, malah terdapat juga ancaman patogen lain dengan potensi penyebab kematian yang tinggi,” katanya.
Justeru, beliau menekankan keperluan untuk mekanisme global yang berkesan bagi menangani dan bertindak balas terhadap semua jenis kecemasan.
“Apabila wabak seterusnya datang – dan ia akan berlaku – kita mesti bersedia untuk menjawab dengan tegas, kolektif dan saksama,” katanya.
Tedros berkata, COVID-19 mempunyai implikasi yang ketara terhadap sasaran berkaitan kesihatan di bawah Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) yang bakal berakhir pada 2030.
Pandemik itu juga menjejaskan kemajuan ke arah sasaran Triple Billion, yang diumumkan pada Perhimpunan Kesihatan Sedunia 2017. – Agensi