Berita Utama

Ahmad Maslan kecewa dituduh kafir hanya kerana minta undi DAP

'Tiada kaitan akidah sebab kita dalam Kerajaan Perpaduan'

KUALA LUMPUR, 4 Zulkaedah 1444H, Rabu – Gesaan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan supaya ahli UMNO mengundi parti rasis DAP kelihatan tidak disenangi beberapa pihak, apabila ada yang melakarkan potret tidak bermoral pemimpin itu.

Tular di media sosial, wajah Ahmad dilukis seperti khinzir serta ditulis perkataan kafir oleh pihak tidak bertanggungjawab yang menyifatkannya sebagai ‘barua’ DAP.

Isu itu dipercayai timbul selepas Ahli Parlimen Pontian itu meminta ahli UMNO menyokong calon DAP di kawasan masing-masing atas nama memperkukuhkan Kerajaan Madani – yang didakwa diputarbelitkan.

Kecewa dengan perkara itu, Ahmad menyifatkan pihak yang melabel dirinya kafir sebagai kurang berilmu dan tidak matang.

Beliau berkata berkata, perkara itu tidak seharusnya timbul kerana kenyataannya meminta ahli UMNO menyokong calon DAP adalah perkara biasa dalam berpolitik bagi mengukuhkan parti gabungan.

“Ia bukan isu peribadi tetapi isu prinsip, kita tidak boleh mengkafirkan orang hanya kerana saya kata undilah DAP maka timbullah tuduhan menjelikkan.

“Saya tak kata ia dimiliki parti tertentu tapi ayat disebut itu melambangkan kerendahan ilmu pihak berkaitan.

“Saya ingin maklumkan, PAS pernah bersama dengan DAP pada gabungan Pakatan Rakyat sebelum ini, malah Presiden PAS pernah menyebut undi calon DAP, malah Presiden Bersatu pernah menyebut undi calon DAP, tetapi kami tidak pernah mengkafirkan mereka.

“Tiada kaitan dengan akidah pun sebab apabila kita bersama dalam Kerajaan Perpaduan ini.

“Sekali lagi saya menyebut bukan atas nama DAP tetapi atas nama Kerajaan Perpaduan jadi kita harus saling bantu antara satu sama lain,” katanya seperti dilapor akhbar tempatan.

Serentak itu, Ahmad menegaskan bahawa tindakan politik tidak matang seumpama itu harus dihentikan.

“Saya kira tentunya pihak polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) akan siasat perkara ini termasuk pemilik akaun sama ada ‘fake’ akaun atau ada pengendali, orang atau organisasi di sebaliknya.

“Saya tidak mahu salahkan sesiapa tetapi benda tak baik patut dihentikan. Kita mahu keharmonian dalam politik kita,” katanya.

Katanya, laporan polis termasuk dari Pemuda UMNO Malaysia dan beberapa tempat termasuk Johor dan Sabah sudah dibuat setakat hari ini.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button