Berita Utama

Dewan Rakyat bincang isu wang tak dituntut

Menteri Sumber Manusia disoal mengenai tabung insentif bantu majikan swasta

KUALA LUMPUR, 4 Zulkaedah 1444H, Rabu – Sidang Dewan Rakyat yang memasuki hari ketiga hari ini, antara lain bakal membincangkan mengenai jumlah wang tidak dituntut setakat 31 Mac 2023 serta cadangan untuk memanfaatkan wang tersebut bagi pembangunan negara.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman rasmi Parlimen, soalan itu akan dikemukakan Fong Kui Lun (PH-Bukit Bintang) kepada Menteri Kewangan pada sesi soal jawab.

Turut tersenarai, soalan daripada Datuk Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail (PN-Kubang Pasu) yang meminta Menteri Luar menyatakan langkah yang akan diambil kerajaan bagi mengembalikan kegemilangan, kedudukan dan peranan Malaysia di peringkat antarabangsa termasuk ASEAN yang dilihat semakin terpencil serta tidak dinamik seperti pada era 1980-an dan 1990-an.

Mohd Sany Hamzan (PH-Hulu Langat) pula akan mengajukan soalan kepada Menteri Sumber Manusia mengenai sama ada kementerian berhasrat melaksanakan tabung insentif bagi membantu majikan terutama syarikat swasta mewujudkan peluang bersesuaian dengan bidang kepada pelajar pusat pengajian tinggi yang melaksanakan tugasan latihan kerja dengan elaun berpatutan.

Selesai sesi soal jawab, persidangan Dewan Rakyat akan diteruskan dengan perbahasan Rang Undang-Undang Insolvensi (Pindaan) 2023 oleh Ahli-ahli Parlimen yang mengambil bahagian.

Selain itu, antara rang undang-undang yang tersenarai untuk bacaan kali kedua pada hari ini ialah Rang Undang-Undang Fi (Jabatan Penyiaran Malaysia) (Pengesahan) 2023, Rang Undang-Undang Tenaga Boleh Baharu (Pindaan) 2023 dan Rang Undang-Undang Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (Pindaan) 2023.

Persidangan Dewan Rakyat kali ini berlangsung selama 11 hari bermula 22 hingga 25 Mei dan bersambung semula pada 6 hingga 15 Jun ini. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button