Di Johor hanya umat Islam boleh guna kalimah Allah
Perinci isu kalimah Allah tanpa jejaskan fatwa, enakmen negeri

BANGI, 4 Zulkaedah 1444H, Rabu – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah bahawa penggunaan kalimah Allah hanya dikhususkan untuk umat Islam di negeri itu.
Baginda bertitah, penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam adalah tidak diharuskan, tidak dibenarkan serta ditegah dan dilarang, selaras fatwa yang diwartakan pada 4 Jun 2009 di Johor.
Titah baginda, negeri Johor juga mempunyai Enakmen Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama-Agama Bukan Islam 1991 yang melarang penggunaan kalimah-kalimah yang dikhususkan secara eksklusif untuk umat Islam dan tidak boleh digunakan oleh orang bukan Islam, kecuali dalam keadaan atau amalan yang dibenarkan perundangan seperti senikata Lagu Bangsa Johor.
“Susulan keputusan pada 18 April 2023 untuk menarik balik rayuan yang difailkan di Mahkamah Rayuan Putrajaya terhadap penghakiman Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bertarikh 10 Mac dalam semakan kehakiman Jill Ireland bt Lawrence Bill lwn. Menteri bagi Kementerian Dalam Negeri & Anor.
“Kerajaan Persekutuan hendaklah memperhalusi dengan cermat dan sebaiknya kesan-kesan keputusan itu kerana ia berkait rapat dengan isu yang berada dalam sempadan agama Islam dan sentimen umat Islam negara ini,” titah baginda dalam kenyataan, hari ini.
Sultan Ibrahim bertitah, peraturan, tindakan kawalan, penguatkuasaan dan penyelarasan mengenai kalimah Allah mesti diperinci tanpa menjejaskan fatwa serta enakmen negeri supaya keharmonian dan perpaduan masyarakat majmuk akan terus terpelihara.
“Saya tetap berpendirian bahawa penerbitan, percetakan, penyiaran dan pengedaran sebarang bahan yang mengelirukan rakyat, terutamanya umat Islam, tidak akan dibenarkan di negeri Johor selari dengan kedudukan Islam di dalam Undang-Undang Tubuh Negeri Johor 1895,” titah baginda.
Pada 15 Mei, kerajaan dan KDN telah menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang memutuskan bahawa penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah Allah, baitullah, kaabah dan solat dalam penerbitan bahan agama bagi tujuan pembelajaran.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, masalah yang wujud ketika ini adalah kerana arahan pentadbiran KDN pada 1986 adalah bercanggah dengan keputusan Majlis Raja-Raja.
Beliau turut menolak dakwaan bahawa keputusan yang dibuat oleh kerajaan memberi ruang kepada orang bukan Islam untuk menerbitkan kalimah Allah dengan sewenang-wenangnya.