Berita Utama

Malaysia-AS perkukuh kerjasama keselamatan

Pertemuan Malaysia-As menandakan fasa baharu dalam hubungan kedua-dua negara

KUALA LUMPUR, 4 Zulkaedah 1444H, Khamis – Malaysia akan terus mengukuhkan kerjasama keselamatan dengan Amerika Syarikat dalam aspek keselamatan maritim dan isu rentas sempadan.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menerusi catatan di Facebooknya memaklumkan perkara itu dizahirkan ketika pertemuan beliau dengan Duta Amerika Syarikat ke Malaysia Brian D. McFeeters di Langkawi hari ini sempena Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2023 (LIMA’23) yang sedang berlangsung.

Beliau berkata perbincangan itu adalah susulan kepada pertemuan antara mereka di Putrajaya pada 3 Mei lepas.

“Perbincangan kali ini memberi fokus kepada aspek kerjasama keselamatan yang turut meliputi isu-isu maritim, isu rentas sempadan dan sebagainya,” kata beliau.

Saifuddin berkata hubungan dua hala Malaysia-Amerika Syarikat juga bakal mengorak langkah ke arah satu lagi memorandum persefahaman yang akan ditandatangani tidak lama lagi selepas termeterainya Perkongsian Komprehensif yang ditandatangani kedua-dua negara pada 2014.

Beliau berharap hubungan dua hala Malaysia-Amerika Syarikat akan terus kukuh dan memberi manfaat kepada kedua-dua negara.

Pada 2014 Malaysia dan Amerika Syarikat sepakat untuk meningkatkan hubungan dua hala kepada perkongsian komprehensif yang menandakan fasa baharu dalam hubungan kedua-dua negara iaitu akan menyaksikan lebih banyak kerjasama dalam bidang ekonomi, keselamatan, pendidikan, sains, teknologi dan bidang-bidang lain.

Perkara ini dimeterai semasa lawatan Presiden Amerika Syarikat Barack Obama ke Malaysia pada April 2014. -Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button