Berita UtamaIstimewa

PEMBELA beri kerajaan 14 hari selesaikan isu kalimah Allah

Cabar KDN, kerajaan berdebat isu tarik balik kes di Mahkamah Rayuan

BANGI, 4 Zulkaedah 1444H, Rabu – Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) memberikan kerajaan tempoh sehingga 14 hari untuk menyelesaikan tuntutan-tuntutan di bawah resolusi enam perkara yang dikemukakan, membabitkan isu penyalahgunaan kalimah Allah.

Setiausaha Agungnya, Mohd Aswanizam Alias berkata, resolusi itu diputuskan setelah PEMBELA selesai mengadakan sesi penerangan dan konsultasi bersama rakan NGO yang bergabung di bawah pertubuhan itu.

“Pertemuan pada hari tersebut membincangkan tentang isu penyalahgunaan nama Allah dan tindakan kerajaan yang menarik balik kes di Mahkamah Rayuan.

“NGO-NGO bersepakat untuk bersetuju dengan resolusi 6 Perkara untuk digerakkan oleh PEMBELA dan memberikan kerajaan tempoh 14 hari untuk menyelesaikan tuntutan-tuntutan yang dibuat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Resolusi 6 Perkara yang dipersetujui oleh PEMBELA adalah:

1) Mengangkat usul Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM) untuk mencabar Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan kerajaan berdebat dalam isu tarik balik kes ini. Notis jawapan persetujuan debat dalam tempoh tujuh hari;

2) Menyelaraskan semua bentuk rujukan kepada kes ini sebagai isu salah guna nama Allah;

3) Bersetuju untuk mendesak kerajaan untuk membatalkan semua bentuk arahan dan pekeliling yang masih ada;

4) Mendesak kerajaan untuk menyegerakan pekeliling dan arahan kerajaan baru yang ditambahbaik dengan segera;

5) Mendesak Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri untuk berhenti mengeluarkan kenyataan mengelirukan rakyat;

6) Melancarkan Pelan Tindakan Pertubuhan Islam Bukan Kerajaan Fasa 2 apabila kesemua di atas gagal dijalankan.

Pada 15 Mei, kerajaan dan KDN telah menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang memutuskan bahawa penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah Allah, baitullah, kaabah dan solat dalam penerbitan bahan agama bagi tujuan pembelajaran.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, masalah yang wujud ketika ini adalah kerana arahan pentadbiran KDN pada 1986 adalah bercanggah dengan keputusan Majlis Raja-Raja.

Beliau turut menolak dakwaan bahawa keputusan yang dibuat oleh kerajaan memberi ruang kepada orang bukan Islam untuk menerbitkan kalimah Allah dengan sewenang-wenangnya.

“Saya tak fikir munasabah yang digunakan dan dipolitikkan isu ini. Pendirian kerajaan hari ini dalam keputusan Jemaah Menteri memperaku keputusan yang dibuat Majlis Raja-Raja Melayu.

“Kelonggaran diberikan dengan syarat-syarat untuk Sabah dan Sarawak dan ini keputusan yang dibuat menyebabkan tidak ada rayuan dalam kes,” kata Anwar.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button