Wanita ditahan muat naik gambar tatu kalimah Allah
Polis beri amaran jangan tular perkara sentuh sensitiviti agama

BANGI, 4 Zulkaedah 1444H, Rabu – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan seorang wanita warga tempatan yang disyaki memiliki dan mengendali akaun Facebook ‘@Bunga Matahari’ kerana memuat naik gambar tatu kalimah Allah.
Setiausaha Polis Malaysia, Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, suspek direman selama tiga hari sehingga 26 Mei, di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah.
“Turut dirampas daripada suspek sebuah telefon bimbit bersama sekeping kad sim.
“Kes disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian D5, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Sehubungan itu, PDRM mengingatkan orang ramai supaya tidak membuat hantaran atau menularkan perkara yang menyentuh sensitiviti agama, perkauman dan institusi diraja di mana-mana platform media sosial sehingga boleh membangkitkan perpecahan keamanan serta menggugat keharmonian kaum.
Katanya, tindakan tegas tanpa kompromi bakal diambil terhadap mana-mana individu yang sengaja menggugat ketenteraman serta keselamatan awam.