Dunia

89 kanak-kanak maut, India arah uji sirap batuk eksport

Wajibkan ujian sampel selepas WHO temui toksin dalam produk ubat

NEW DELHI, 5 Zulkaedah 1444H, Khamis – Kerajaan India kini menguji sirap batuk yang dieksport, selepas puluhan kanak-kanak di Gambia dan Uzbekistan meninggal dunia kerana dikaitkan dengan ubat-ubatan berkenaan.

Pertubuhan Kawalan Standard Dadah Pusat mengarahkan makmal mengeluarkan laporan ujian dengan segera selepas menganalisis sampel daripada pengeluar.

Arahan pada Rabu itu dikeluarkan ke semua makmal Kerajaan Persekutuan dan pengawal selia dadah di enam negeri pengeluar utama serta satu wilayah persekutuan.

India mewajibkan ujian ke atas sampel sirap batuk eksport awal minggu ini, selepas Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menemukan toksin dalam produk ubat yang dikeluarkan oleh tiga syarikat di negara itu.

Difahamkan, sirap batuk yang dibuat oleh dua syarikat terbabit dikaitkan dengan kematian 70 kanak-kanak di Gambia dan 19 di Uzbekistan, tahun lalu.

Kematian itu menggugat reputasi industri farmaseutikal India yang bernilai AS$41 bilion – antara terbesar di dunia – dan kerajaan sedang mempertimbangkan untuk merombak dasar industri berkenaan bagi mengetatkan prosedur ujian serta bahan mentah.

Bermula 1 Jun, semua sirap batuk yang dieksport dari India memerlukan sijil analisis daripada makmal kerajaan.

Terdahulu, ujian sampel terhadap sirap batuk yang dibuat oleh Maiden Pharmaceuticals Ltd, yang dikaitkan dengan kematian kanak-kanak di Gambia mendapati tiada kandungan toksin, namun terdapat bahan cemar dikesan dalam banyak ubat yang dibuat Marion Biotech – di mana sirap batuknya dikaitkan dengan kes kematian di Uzbekistan.

Bagaimanapun, syarikat terbabit menafikan sebarang salah laku.- Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button