Clemira Care Cream ada racun berjadual
Notifikasi produk dibatalkan, tak boleh dijual di Malaysia

BANGI, 5 Zulkaedah 1444H, Khamis – Kementerian Kesihatan (KKM) menasihatkan orang ramai awam untuk menghentikan penggunaan produk kosmetik Clemira Care Cream, yang dikesan mengandungi racun berjadual miconazole.
Susulan itu, notifikasi produk kosmetik terbabit telah dibatalkan oleh Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi, KKM dan tidak lagi dibenarkan dijual di Malaysia.
Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata, produk mengandungi miconazole adalah ubat yang perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah dan hanya boleh digunakan dengan nasihat ahli profesional kesihatan.
Beliau berkata, penggunaan produk yang mengandungi bahan itu tanpa pengawasan ahli profesional kesihatan boleh menyebabkan kesan sampingan tidak diingini seperti meningkatkan risiko kerintangan serta mengurangkan keberkesanan untuk merawat jangkitan pada masa hadapan.
“Penjual dan pengedar produk kosmetik ini perlu menghentikan penjualan dan pengedaran produk kosmetik tersebut dengan serta-merta.
“Penjualan dan pengedaran produk kosmetik ini adalah melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, individu yang melakukan kesalahan di bawah peraturan itu boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama, manakala denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan berikutnya.
Sementara, syarikat yang melakukan kesalahan sama boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 bagi kesalahan berikutnya.
Katanya, orang awam yang menggunakan produk kosmetik ini digesa untuk mendapatkan nasihat daripada ahli profesional kesihatan jika mengalami sebarang ketidakselesaan atau kesan advers.
“Orang awam digalakkan untuk menyemak status notifikasi sesuatu produk kosmetik dengan melayari laman sesawang rasmi NPRA www.npra.gov.my atau melalui aplikasi ‘NPRA Product Status’ yang boleh dimuat turun daripada Google Play Store,” katanya.