Berita Utama

Kalimah Allah: Apa bukti kerajaan rujuk Majlis Raja-Raja?

Penjelasan Anwar terus bercanggah, makin mengelirukan rakyat

Oleh Athirah Huda Zalhe 

BANGI, 5 Zulkaedah 1444H, Khamis – BERJASA menyifatkan penjelasan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkaitan isu penggunaan kalimah Allah di Parlimen baru-baru ini, hanya menambahkan kekeliruan kepada rakyat.

Malah, Presiden BERJASA, Haji Zamani Ibrahim melihat beberapa penjelasan yang dinyatakan Anwar juga menimbulkan pelbagai tanda tanya, khususnya berkait keputusan pembatalan rayuan di mahkamah.

Beliau turut keliru dengan langkah kerajaan apabila Perdana Menteri pula mengambil peranan untuk membuat penjelasan di Dewan Rakyat, sedangkan isu itu sepatutnya di bawah tanggungjawab Menteri Dalam Negeri.

“Tetapi saya rasa dia (Menteri Dalam Negeri) tidak mampu, dia lemah (dan) dia kalah. Akhirnya diserahkan kepada Perdana Menteri untuk bercakap di Parlimen.

“Jadi, dikatanya penjelasan tetapi apa yang saya ikuti, saya tengok bukan penjelasan, ia menambahkan kekeliruan pada kita yang masih keliru lagi,” katanya.

Terdahulu, Anwar pada sesi Pertanyaan Perdana Menteri menjelaskan, tindakan kerajaan menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi dalam kes penggunaan kalimah Allah bertujuan mengelak sebarang keputusan dibuat berterusan bercanggah dengan keputusan Majlis Raja-Raja.

Anwar dilaporkan berkata, penarikan rayuan itu memberi ruang kepada kerajaan untuk menambah baik semua aspek, selain itu juga selaras pandangan serta nasihat Peguam Negara.

Ahli Parlimen Tambun itu antara lain menyangkal dakwaan keputusan kerajaan menarik balik rayuan kes terbabit tidak dirujuk kepada Majlis Raja-Raja, selain menegaskan tuduhan sedemikian tidak sepatutnya timbul.

Ini kerana, katanya, keputusan kes Jill Ireland Lawrence Bill lawan Kementerian Dalam Negeri (KDN) terikat keputusan Majlis Raja-Raja yang menyatakan nama ‘Allah’ tidak boleh digunakan di Semenanjung dengan kelonggaran secara bersyarat diberikan kepada Sabah dan Sarawak.

Bimbang Peguam Negara ditekan 

Mengulas lanjut perkara itu, Zamani mempersoalkan kesahihan kenyataan Anwar dan menuntut kerajaan mengemukakan bukti yang mengesahkan dakwaan keputusan itu dirujuk kepada Majlis Raja-Raja serta Peguam Negara.

“Apa bukti? Bila tarikhnya? Apa dokumen yang boleh menyokong lidah Perdana Menteri itu? Peguam Negara yang menyuruh untuk rayuan dulu, takkanlah dia yang menyuruh dan dia minta batalkan?

“Peguam Negara ini masih Peguam Negara sama. Saya bimbang Peguam Negara diberikan tekanan, kalau Peguam Negara ditekan, bagi saya ini tidak sihat,” katanya.

Beliau sehingga kini masih belum mempercayai penjelasan Anwar selagi tiada bukti bahawa beliau sememangnya merujuk kepada Majlis Raja-Raja.

“Mungkin dah rujuk tetapi (mungkin) selepas diumumkan pembatalan rayuan. Kalau selepas pembatalan baru dirujuk, itu bukan rujuk namanya.

“Dah kelam kabut baru jumpa. Sepatutnya bila sebut rujuk, berjumpa sebelum diisytiharkan, itu baru rujuk,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button