Penerbangan terus Afghanistan-China disambung selepas 3 tahun tangguh
Taliban akan lebarkan sayap perdagangan dengan China

KABUL, 5 Zulkaedah 1444H, Khamis – Penerbangan terus antara Afghanistan dan China disambung semula selepas Ariana Airline menangguhkan operasi Kabul ke Urumqi, tiga tahun lalu susulan Taliban mengambil alih pentadbiran negara.
Kementerian Pengangkutan dan Penerbangan Afghanistan berkata, operasi semula penerbangan dijangka memberi kesan positif dalam ekonomi dan perdagangan kedua-dua negara.
Ketua Ariana Airlines, Rahmatullah Aghan berkata, pihaknya merancang untuk menambah beberapa lagi pesawat dalam masa terdekat.
Sementara itu, Ketua Dewan Perniagaan dan Pelaburan Afghanistan, Mohammad Younos Mohmmand berkata, Taliban akan melebarkan sayap dalam perdagangan dengan China.
Konsulat China di Kabul pula berkata, hubungan ekonomi dan perdagangan dengan Afghanistan kini semakin berkembang.
“Kami menyambung semula penerbangan dari kabul ke Urumqi dan pencapaian ini membuktikan hubungan Afghanistan-China semakin kukuh,” katanya.
Diplomat China itu menambah, dalam mesyuarat Menteri Luar China, Pakistan dan Afghanistan yang diadakan di Islamabad telah menekan pembangunan ekonomi dengan Afghanistan selain pengukuhan kerjasama perdagangan dan hubungan Afghanistan.
Katanya, projek infrastruktur dengan kerjasama negara-negara rantau ini juga dipersetujui dan perlu diperkukuhkan lagi. – Agensi