Berita Utama

Kerajaan Perak boleh diperintah tanpa orang politik?

Agong perlu isytihar darurat, beri kuasa eksekutif kepada Sultan Perak

BANGI, 19 Rabiulakhir 1442H, Sabtu – Pentadbiran negeri Perak boleh diperintah oleh pegawai-pegawai kerajaan tanpa perlu membabitkan ahli politik.

Felo Penyelidik (Undang-Undang dan Perlembagaan) Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Muhammad Fathi Yusof berkata, langkah itu mungkin antara jalan penyelesaian dalam menangani kemelut politik di Perak ketika rakyat masih bergelut dengan masalah ekonomi dan pandemik COVID-19.

Ini selepas, Menteri Besarnya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu gagal memperoleh sokongan majoriti dalam usul keyakinan ahli dewan terhadap Menteri Besar pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Dalam undian yang dijalankan, Ahmad Faizal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chenderiang hanya mendapat 10 undi, berbanding 48 menolak manakala satu berkecuali.

Usul itu dibawa Datuk Abd Manap Hashim (BN-Pengkalan Baru) atas alasan untuk membuktikan Ahmad Faizal mempunyai sokongan padu daripada semua 59 ADUN sebagai seorang Menteri Besar.

Dr Muhammad Fathi berkata, pembentukan pentadbiran tanpa membabitkan orang politik boleh berlaku sekiranya Yang di-Pertuan Agong mengisytihar darurat di bawah Perkara 150(1) atas faktor ancaman ekonomi.

Ini kerana, beliau berkata, jika Pilhan Raya Negeri (PRN) dilaksanakan akan ada risiko besar kepada wabak dan ekonomi rakyat.

Oleh itu, katanya, Agong akan memberikan kuasa eksekutif kepada Sultan Perak di bawah Perkara 150 (4).

“Sultan Perak menurunkan kuasa kepada pegawai-pegawai kerajaan yang diketuai oleh Setiausah Kerajaan Negeri tanpa melibatkan orang politik.

“Kita tunggu perkembangan sehari dua ini, jika orang politik gagal mencari jalan penyelesaian, mungkin ini pilihan yang ada sementara menunggu PRN atau Pilihan Raya Umum Ke-15 bila wabak dah reda,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button