Artikel Khas

Kerajaan buat polisi semberono, tak fikir maslahat seluruh rakyat

Jangan 'kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kebuluran'

1. DESAS desus bahawa kerajaan akan menarik subsidi elektrik bagi golongan berpendapatan tinggi (T20) pada akhir tahun ini adalah satu berita yang amat mendukacitakan.

2. Ia juga membuktikan sikap semberono kerajaan dalam proses pembuatan polisi serta keputusan yang melibatkan maslahat keseluruhan rakyat.

3. Selain takrif dan ketepatan ketegori T20 yang masih hangat diperdebatkan, penarikan subsidi ini juga mengundang kecaman memandangkan golongan ini juga didiskriminasi dengan anak-anak mereka tidak mendapat biasiswa dan ditarik pelbagai kemudahan lain walaupun mereka merupakan penyumbang terbesar cukai pendapatan kepada negara.

4. Mengikut statistik, pada tahun 2022 kerajaan telah mengeluarkan RM5.8 bilion yang merupakan subsidi bahan api ke atas bil elektrik bagi semua pelanggan kediaman dan bukan kediaman.

Bayaran berjumlah RM5.8 bilion tersebut dibuat kepada TNB bagi memastikan TNB tidak terkesan daripada kenaikan mendadak harga bahan api untuk penjanaan elektrik selaras dengan mekanisme Peraturan Berasaskan Insentif (IBR).

5. Ya ia merupakan satu jumlah yang tinggi, tapi bukankah lebih baik penarikan subsidi difokuskan kepada pelanggan bukan kediaman, terutamanya perniagaan dan perindustrian yang menjana keuntungan berjuta ringgit setiap tahun?

6. Apa pula pendirian Kerajaan Madani terhadap pemberian kontrak kepada Pengeluar Tenaga Bebas (IPP) yang merupakan punca pokok peningkatan tarif elektrik di Malaysia selama ini?

7. Jika selama ini DS Anwar Ibrahim berdentam-dentum mengkritik Tun M berkaitan isu IPP, namun setelah menjadi Perdana Menteri beliau diam seribu bahasa dan terus membiarkan beberapa orang jutawan IPP majoritinya bukan Melayu terus menjarah kekayaan hasil negara sedangkan rakyat yang lain terus menderita.

8. Kerajaan seharusnya melihat isu IPP, kenaikan harga tenaga dunia dan isu besar ekonomi sara hidup rakyat secara lebih adil dan saksama. Jangan ambil jalan mudah. Jangan ‘kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kebuluran’!

Ir. Ts. Lukman Al Hakim Mohamad
Naib Presiden BERJASA

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button