Segera buru ‘pihak’ sembunyi gula
Ramai mengadu sukar dapat bekalan meski kerajaan kata gula cukup

BANGI, 6 Zulkaedah 1444H, Jumaat – Operasi mengesan pihak yang terbabit dalam menyembunyikan gula sehingga berlaku krisis bekalan bahan mentah itu perlu disegerakan.
Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Mohideen Abdul kader berkata, ramai yang mengadu berdepan kesukaran mendapatkan gula putih walaupun kerajaan memberi jaminan bekalan mencukupi.
“Memandangkan krisis gula semakin teruk, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) perlu segera melancarkan operasi di seluruh negara terhadap penyorok dan pencatu gula ini.
“Kita percaya mereka ini yang memburukkan lagi krisis dengan menyekat bekalan komoditi itu ke pasaran,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mohideen juga mengesyorkan serbuan oleh Bahagian Penguatkuasa KPDN dilakukan di seluruh negara.
Ini bagi memaksa individu atau pihak yang menyembunyi bekalan tersebut mengeluarkan stok gula mereka ke pasaran.