Tiada bukti PN terima dana judi, PAS tuntut Anwar mohon maaf secara terbuka
Tuduhan dibuat bukti jelas kerajaan PH-BN pimpinan PMX menipu

BANGI, 6 Zulkaedah 1444H, Jumaat – PAS menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memohon maaf secara terbuka berkait tuduhan Perikatan Nasional (PN) menerima dana daripada syarikat perjudian untuk berkempen dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Desakan dibuat susulan jawapan yang diberikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Undang-Undang dalam soalan bertulis Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari, semalam.
Azalina mengesahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak dapat membuktikan dakwaan PN menerima dana daripada syarikat perjudian untuk berkempen pada PRU15.
Katanya, SPRM sudah menjalankan kajian terperinci dan mendapati maklumat terlalu umum dan tiada pihak yang boleh mengesahkan isu ini.
“Justeru, tiada apa-apa fail siasatan dibuka ke atas isu ini,” kata Azalina.
Justeru, Ketua Penerangan PAS, Ir Ts Khairil Nizam Khiruddin berkata, pengesahan Menteri di Jabatan Perdana Menteri telah membuktikan dengan jelas kerajaan Pakatan Harapan-Barisan Nasional pimpinan menipu.
“Lontaran tuduhan itu asalnya dibuat PMX selepas beberapa minggu menerajui kerajaan, melengkapkan lagi bukti pembohongan PMX.
“Kami menggesa PMX memohon maaf secara terbuka ke atas fitnah dan penipuan yang dilemparkan kepada PN itu,” katanya.