Berita Utama

Anwar pertahan kenyataan dakwa PN terima dana judi

Siasatan masih berjalan, tindakan akan diambil bila dah ada bukti

BANGI, 7 Zulkaedah 1444H, Sabtu – Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertahankan kenyataannya berhubung dakwaan Perikatan Nasional (PN) menerima dana syarikat perjudian untuk berkempen dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Perdana Menteri berkata, beliau tidak akan mengeluarkan sebarang kenyataan jika ia tidak mempunyai asas.

“Sila baca kenyataan dengan lengkap dan baru ambil tindakan. Tapi kalau dia (Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yasin) mahu bawa terus (kemuka tindakan saman), silakan.

“Saya tidak akan keluar kenyataan kalau saya tidak ada asas,” katanya seperti dipetik media tempatan.

Beliau mengulas kenyataan Muhyiddin yang dilaporkan sedang berbincang dengan peguam mengenai kemungkinan mengambil tindakan undang-undang terhadap Anwar berhubung isu berkenaan.

Ia selepas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat pada Khamis memaklumkan siasatan SPRM tidak dapat membuktikan dakwaan mengatakan PN menerima dana daripada syarikat perjudian untuk berkempen dalam PRU15.

Katanya, siasatan SPRM mendapati dakwaan itu terlalu umum dan tiada pihak yang boleh mengesahkan isu itu, sekali gus tiada fail siasatan dibuka.

Bagaimanapun, Azalina tampil memberi penjelasan lanjut semalam dan mengatakan jawapan bertulis itu tidak menyatakan siasatan SPRM berhubung dakwaan itu sudah dihenti atau digugurkan.

Dalam pada itu, Anwar berkata, siasatan terhadap dakwaan dana itu masih lagi berjalan membabitkan pelbagai agensi.

“Ia ada banyak agensi dan siasatan bila dah ada bukti, baru lah disebarkan atau diambil tindakan mengikut (perundangan).

“(Agensi lain ambil tindakan?) Itu biar agensi yang jelaskan,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button