Berita Utama

Istilah ‘rasisme’, ‘Islamofobia’ idea sekat Melayu bersatu

Jangan lupa daratan! UMNO takkan bangkit selain perjuang bangsa

Oleh Muhammad Danial Haziq

BANGI, 7 Zulkaedah 1444H, Sabtu – BERJASA menggesa masyarakat Melayu dan Islam di negara ini supaya tidak mudah terpedaya dengan istilah ‘rasisme’ dan ‘Islamofobia’.

Ketua Pemudanya, Fahmi Bazlan mendakwa, istilah-istilah itu diwujudkan pihak tertentu untuk menyekat bangsa Melayu daripada bersatu.

Beliau mendakwa, istilah berkenaan adalah idea yang dibawa pihak lain, bangsa Cina dan bangsa asing sebagai satu propaganda untuk menakut-nakutkan orang Melayu.

“Mereka iri hati melihat kesatuan dan perpaduan orang Melayu, akhirnya mereka merasakan bahawa untuk bangkit, menguasai ekonomi dan politik, mereka perlu memecahbelahkan orang Melayu.

“Jadi kesatuan inilah yang sengaja diporak-perandakan dan kemudian diberikan satu gambaran yang buruk, imej rasisme, ekstrim,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi sebuah video yang dimuat naik di akaun TikTok rasminya hari ini, sebagai mengingatkan UMNO supaya tidak lupa daratan apabila seolah-olah mengabaikan perjuangan asalnya terhadap bangsa Melayu selepas bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH).

Fahmi menempelak sikap UMNO-Barisan Nasional (BN) yang mengatakan perjuangan bangsa dan agama adalah salah satu bentuk perjuangan ekstrem serta melampau.

“Kita faham dan percaya dari segi sejarah, UMNO itu takkan bangkit melainkan dengan perjuangan bangsa. Perjuangan bangsa ini jangan kita salah faham.

“Jadi UMNO hari ini seolah-olah perlu sedar dan hari ini kita jangan terpedaya. Sebenarnya kesatuan orang Melayulah yang menyebabkan akhirnya kita toleransi dengan agama-agama lain, kaum lain,” katanya.

Beliau berkata, situasi itu menyebabkan kaum lain berjaya jauh ke depan terutama dalam sektor ekonomi, khususnya masyarakat Cina.

“Hari ini siapa di kalangan 10 serarai yang kaya dalam Malaysia? Bukan orang Melayu, tetapi orang Cina. Tetapi, di manakah rasisme?

“Di manakah ekstrimis perjuangan bangsa Melayu ini sedangkan kita yakin jika sekiranya untuk negara Malaysia ini.

“Baiknya orang Melayu, bersatunya orang Melayu… maka dasar-dasar negara akan jadi baik dan keadilan itu akan melata, menjaga kebajikan kaum lain di dalam negara,” katanya.

Pautan video;

https://vt.tiktok.com/ZSL8SdAkL/

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button