Berita Utama

Majlis Media Malaysia mampu tingkat kredibiliti media arus perdana

Berperanan kawal selia tafsiran berita tidak benar mengikut perspektif wartawan

BANGI, 7 Zulkaedah 1444H, Sabtu – Cadangan penubuhan Majlis Media Malaysia (MMM) dapat membina keyakinan masyarakat terhadap kemampuan dan kredibiliti organisasi media, khususnya media arus perdana.

Penganalisis Politik dan Media Baharu UiTM, Prof Madya Dr C Sara berkata, di sebalik populariti penyebaran berita melalui media sosial, masyarakat masih merujuk laporan media arus perdana untuk mendapatkan kesahihan sumber.

“Penubuhan MMM yang masih pada peringkat perbincangan, dilihat mampu menjaga integriti profesion kewartawanan. MMM boleh melindungi wartawan dan melindungi hak mereka.

“MMM antara lain akan memastikan fungsi sosial media diberi perhatian serius, mewujudkan sistem akauntabiliti media tersendiri dan mengawal selia tafsiran berita tidak benar mengikut perspektif wartawan.

“Antara tugas MMM adalah menangani isu ‘aduan akhbar’ semakin lantang di negara kita,” katanya.

Menulis di Berita Harian (BH), beliau turut memberikan beberapa contoh organisasi media luar negara yang menjadi perantara rakyat dan pihak kerajaan, sekali gus menekankan kepentingan peranan MMM.

“Di New Zealand misalnya, majlis media mereka akan menjadi jurucakap kepada rakyat apabila berlaku sebarang ketidakadilan terhadap media atau sebarang aduan terhadap media perdana berhubung pemberitaan.

“Di Indonesia, Majlis Media Indonesia menjadi platform rundingan antara kerajaan, media dan rakyat bagi isu berbangkit.

“Maka, MMM perlu memastikan hak dan legasi media serta pengamalnya diberikan perhatian secukupnya selain mengawal selia aspek akauntabiliti dan kod etika wartawan,” katanya.

Dr C Sara berkata, kewujudan MMM akan memberikan keyakinan kepada masyarakat bahawa media tidak dikawal oleh kerajaan.

“Justeru, segala peraturan dan undang-undang mahu digubal pada masa hadapan harus datangnya daripada majlis media ini.

“Ini kerana ia akan membabitkan persoalan kredibiliti media, sama ada bersikap berat sebelah terhadap sesuatu pihak dan keduanya, sebagai satu platform rundingan dan bukan tempat media sosial menjana pelbagai persepsi dalam kalangan rakyat Malaysia.

“Era ‘Malaysia Baharu’ wajar dijadikan sebagai peluang dan titik tolak menghentikan kepentingan dan campur tangan mana-mana pihak dalam syarikat media,” katanya.

Pautan artikel;

https://www.bharian.com.my/rencana/lain-lain/2023/05/1106586/akta-pukat-tunda-kekang-media-perlu-disemak-semula

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button