MKT UMNO terima penjelasan Ahmad Maslan isu undi calon DAP
Mahu Kerajaan Perpaduan kekal hingga cukup penggal, kata Puad Zarkashi

BANGI, 7 Zulkaedah 1444H, Sabtu – Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO menerima penjelasan Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan berhubung saranan beliau supaya ahli parti itu mengundi DAP pada Pilihan Raya Negeri (PRN).
Ahli MKT UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, penerimaan itu berdasarkan keterangan Ahmad Maslan yang menegaskan dirinya tidak menyebut mengenai calon DAP, tetapi menyentuh mengenai calon Kerajaan Perpaduan.
“Ahmad Maslan beri penjelasan bahawa yang dia kata sebenarnya ialah supaya menyokong calon Kerajaan Perpaduan. Itu sahaja.
“Dia tiada sebut pasal DAP pun. Jadi kita terimalah penjelasan itu. Kita nak Kerajaan Perpaduan kekal hingga cukup penggal,” katanya seperti dilapor media tempatan, malam tadi.
Sebelum ini, Ahmad Maslan dilaporkan berkata, pengundi UMNO diminta memilih calon DAP dan Kerajaan Perpaduan di kawasan masing-masing demi mengukuhkan kedudukan kerajaan sedia ada.
Beliau berkata, tindakan itu wajar mengikut disiplin parti apabila berada dalam Kerajaan Perpaduan.