Uncategorized

Pemuda Palestin maut ditembak peneroka haram Israel

Tentera Zionis tuduh konon mangsa cuba tikam penduduk

HEBRON, 7 Zulkaedah 1444H, Sabtu – Peneroka haram Israel menembak mati seorang lelaki warga Palestin di Tebing Barat yang diduduki, semalam.

Kementerian Kesihatan Palestin mengesahkan, Alaa Qaysiyeh, 28, terbunuh angkara serangan ‘pendudukan’ di selatan Hebron, di kawasan selatan Tebing Barat.

Tentera Israel mendakwa, lelaki Palestin cuba menikam seorang penduduk di penempatan Tene Omarim, sebelum ditembak oleh peneroka bersenjata.

Rejim itu mendakwa, penyerang terbabit ditembak, namun tiada mangsa Israel yang terkorban.

Insiden dilaporkan berlaku ketika orang ramai di penempatan itu berkumpul untuk berdoa bagi perayaan Shavuot Yahudi, lapor media Israel.

Rakaman kamera keselamatan dari tempat kejadian menunjukkan seorang lelaki Palestin merangkak masuk di bawah pintu pagar dan berjalan sambil memegang pisau.

Video itu bagaimanapun tidak menunjukkan dakwaan cubaan menikam atau lelaki yang ditembak.

Keganasan meningkat dalam konflik Israel-Palestin selama lebih setahun, dengan serbuan tentera negara pengganas yang kerap dan keganasan peneroka haram di Tebing Barat yang diduduki di tengah-tengah siri serangan Palestin ke atas Israel.

Sejak Januari, lebih 140 rakyat Palestin dan sekurang-kurangnya 19 warga Israel serta warga asing terbunuh.

Israel menduduki Tebing Barat – yang dimahukan rakyat Palestin sebagai teras negara merdeka – dalam perang Timur Tengah 1967.

Rundingan kenegaraan yang diusahakan Amerika Syarikat (AS) telah dibekukan sejak 2014, sementara Israel mengekalkan pemerintahan tentera ke atas jutaan rakyat Palestin dan terus mengembangkan penempatan haram Yahudi. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button