Berita Utama

Petronas akan terus beri kerjasama dalam siasatan SPRM

Ambil langkah tambah baik SOP sejajar polisi toleransi sifar rasuah

BANGI, 7 Zulkaedah 1444H, Sabtu – Petronas akan terus memberi kerjasama sepenuhnya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), berhubung siasatan dakwaan wujud unsur rasuah membabitkan projek syarikat itu dengan sebuah syarikat minyak dan gas antarabangsa di Sarawak.

Dalam kenyataan hari ini, Petronas mendakwa, syarikat minyak itu telah memberikan kerjasama sepenuhnya sepanjang tempoh siasatan yang tidak menemui sebarang salah laku oleh Petronas, kakitangan dan pengarahnya di bawah Akta SPRM 2009.

Katanya, selaras dengan cadangan SPRM dan sejajar dengan polisi toleransi sifar rasuah, Petronas sentiasa mengambil langkah menambah baik prosedur operasi standard (SOP).

Ia sebagai usaha berterusan dalam mencegah dan membanteras segala bentuk rasuah dan salah laku oleh pekerja, pengarah dan pihak ketiga bagi pihak syarikat dalam kumpulan.

“Petronas terus komited memberikan kerjasama kepada SPRM dalam usaha ini,” katanya.

Semalam, SPRM mengesahkan membuka kertas siasatan kes itu yang membabitkan pemberian projek bernilai RM399 juta kepada syarikat luar negara yang didakwa disekat oleh beberapa negara.

Dalam siasatan itu, SPRM telah menemukan beberapa kelemahan dalam amalan, sistem dan tatacara kerja berhubung isu berkenaan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button