Berita Utama

Guru hilang RM187,000 selepas dapat panggilan ‘scammer’

Mangsa juga buat pinjaman peribadi berjumlah RM130,000

KUANTAN, 8 Zulkaedah 1444H, Ahad – Panik menerima panggilan daripada ‘polis’ Bukit Aman menyebabkan seorang guru kerugian RM187,000 selepas panggilan itu sebenarnya dibuat anggota sindiket Macau Scam. 

Ketua Polis Pahang, Datuk Yahaya Othman berkata, wanita berusia 36 tahun itu mendakwa dihubungi suspek pada 10 Mei lepas, yang memaklumkan terdapat waran tangkap terhadap dirinya bagi jenayah pemerdagangan manusia. 

“Mangsa yang panik kemudiannya telah menurut arahan suspek untuk memindahkan wang simpanannya ke sebuah akaun yang dimaklumkan bagi tujuan siasatan serta menyerahkan semua maklumat perbankan secara dalam talian kepada suspek. 

“Malah, mangsa juga membuat pinjaman peribadi berjumlah RM130,000 yang dimasukkan ke dalam akaun itu, juga atas arahan suspek,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini. 

Yahaya berkata mangsa menyedari ditipu selepas gagal menghubungi suspek menyebabkan dia membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan semalam. 

Beliau juga menasihatkan orang awam untuk tidak mendedahkan maklumat peribadi dan perbankan kepada pihak ketiga, selain segera membuat pemeriksaan dengan pihak berkuasa jika menerima panggilan mencurigakan. 

Semakan nombor telefon dan akaun bank juga boleh dibuat melalui Check Scammers CCID atau di https://semakmule.rmp.gov.my/ bagi mengelakkan risiko menjadi mangsa penipuan. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button